Anak bongsu bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said iaitu Cash Farhan enggan nama bapanya dikaitkan dengan penglibatannya dalam dunia seni.

Cash Farhan atau nama sebenarnya Muhamad Asyrol Farhan Ahmad, berkata sungguhpun bapa memberi sepenuh sokongan buat dirinya tetapi dia tidak mahu dikatakan terjun ke dunia seni kerana kabel bapa.

“Saya hanya mahu dikenali sebagai ‘diri saya’ dan tidak suka bila orang kata bapa adalah kabel saya untuk berada di sini, hari ini.

“Nilailah saya menerusi bakat yang saya ada, bukan kerana saya ini anak orang itu atau ini,” katanya kepada Gempak.

Bercakap mengenai minatnya sebagai penyanyi, Cash Farhan memberitahu sejak kecil lagi dia memang mahu bergelar penghibur.

Bagaimanapun, hanya selepas impian tersebut dilaksanakan selepas tamat pengajian di Korea Selatan selama dua tahun.

Cash Farhan juga menjadikan artis popular Korea Selatan, G-Dragon daripada kumpulan Big Bang sebagai sumber inspirasinya untuk berkarya.

“Saya mengagumi G-Dragon kerana dia seorang yang berbakat, pandai berfesyen dan sangat optimis dalam kerjayanya.

“G-Dragon sentiasa tahu dan up-to-date dengan muzik ynag menjadi kegilaan semasa remaja masa kini,” katanya.

Pemuda berusia 23 tahun ini juga fasih bertutur dalam Bahasa Korea dan Mandarin dan sudah memiliki single pertama single pertama berjudul Trust.



Lagu berkenaan dicipta bersama dengan penyanyi Ewal Ismail manakala lirik ditulis Cash Farhan sendiri.

“Saya memang suka menulis sejak kecil dan sekarang ini saya sudah memiliki beberapa buah lagu yang ditulis sendiri.

“Trust adalah percubaan pertama saya dan dalam perancangan, saya ingin menyanyikan lagu dalam Bahasa Korea atau Mandarin,” ujarnya.

Lagu Trust sudah boleh distrim di semua pelantar digital termasuk Spotify dan Youtube.

Dalam pada itu, Cash turut berharap agar pembabitannya dalam bidang seni diterima baik dalam kalangan pencinta muzik tempatan.