Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

JanGo Macam Rush Hour Versi Malaysia, Bakal Tayang Di Hong Kong!

Amri Hassan
11/05/2022 05:46 MYT
Selepas filem dialek Negeri Sembilan, Gadis Jolobu The Movie, syarikat Zebra Studio Sdn. Bhd. tampil dengan buah tangan terbaharu mengetengahkan budaya Melayu dan Cina berjudul JanGo.

JanGo ringkasan untuk Jangan Goyang merupakan produksi dengan usaha sama antara Zebra Studio Sdn Bhd dari Malaysia dan Times Multimedia Innovation Ltd dari Hong Kong.

Filem arahan CL Hor itu uniknya menjadi filem dwibahasa Melayu dan Cina pertama di Malaysia yang menggabungkan empat pelakon utamanya iaitu Joey Daud, Khir Rahman, Zhang Yaodong dan Chris Tong.

Kata Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, idea asal untuk menghasilkan filem ini dicetuskan oleh dua pelakon utamanya, Khir Rahman dan Joey Daud.

Ketika penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie, Khir dan Joey mengetengahkan idea menghasilkan filem JanGo.

"Saya tanya apa maksud JanGo, ini kerana saya tidak melihat program realiti yang pernah mereka sertai.

"JanGo adalah nama kumpulan Khir, Joey dan Vicha, mereka pernah diangkat sebagai juara dalam program realiti itu. Dari pada situ, datangnya idea menghasilkan filem JanGo.

"Namun, lebih istimewa kami menggabungkan pelakon berbangsa Cina. Untuk JanGo 1.0, kami akan fokus di Malaysia, kemudian, Khir dan Joey akan terbang ke Shanghai, China menjalani penggambaran filem JanGo 2.0.

"Sepatutnya, kami perlu ke China terlebih dahulu disebabkan mempunyai pelabur dari China. Namun, kami belum sempat membuat kajian. Kami terpaksa menghasilkan filem JanGo 1.0 di Malaysia," katanya.



Saraleana juga yakin karya komedi mampu diterima baik di mana-mana sahaja.

"Genre filem ini adalah komedi dan aksi. Jadi, ia boleh diterima dengan baik di seluruh dunia.

"Sebelum ini, jika kita tengok komedi di Malaysia, ia membabitkan Melayu sahaja. Sama juga dengan filem komedi Cina.

"Namun, menerusi filem JanGo, kami mahu campuran komedi Melayu dan Cina. Jadi, pelakon Cina yang dipilih dalam filem ini boleh bercakap dalam bahasa Melayu.

"Joey dan Khir akan bertutur bahasa Cina untuk menceritakan bagaimana kita hidup dengan dua kaum ini.

"JanGo seperti filem Rush Hour yang menggabungkan pelakon Cina dan kulit hitam. Jadi, kami yakin filem JanGo boleh diterima dengan baik," tambahnya.

JanGo menggambarkan kisah aksi komedi tentang dua sahabat karib yang bekerja di ladang durian dan suatu hari mereka membuat keputusan untuk meninggalkan kampung halaman mereka demi kehidupan yang lebih baik di bandar.

Secara tidak sengaja, mereka telah disyorkan oleh dua orang ketua agensi perisikan untuk menjadi ejen rahsia dan melakukan misi rahsia ke China.

#Hong Kong #Joey Daud #Khir Rahman #Cina #Dwibahasa #Filem. #JanGo