“Janji Tak Rembat Duit Rakyat” - Dituduh Tak Fasih Bahasa Kebangsaan, Calon DUN Kesidang Cetus Pelbagai Reaksi Netizen!
09/11/2021 01:00 MYT
Kecoh di media sosial apabila calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying didakwa tidak pandai bertutur dalam bahasa kebangsaan.
Menerusi satu video yang tular, Leong seakan terpinga-pinga dan kaku apabila wartawan mengajukan beberapa soalan.
Situasi kekok itu sekali gus mengundang persepsi buruk terhadap kemampuannya sebagai calon DUN.
Enggan reputasinya tercalar, Leong kemudian tampil memberi penjelasan menerusi satu video terbaru.
Menurutnya, dia memohon orang ramai agar tidak mudah percaya dengan dakwaan itu dan berharap terus diberikan sokongan.
“Helo semua. Okay semalam saya ada dapat video sudah viral yang cakap saya tak boleh cakap bahasa Melayu.
“Tapi tak mengapa, ramai orang tahu saya boleh cakap bahasa Melayu.
“Mungkin itu hanya satu kali, ada sedikit masalah.Jangan mudah salah faham mengenai perkara begini, saya harap diberikan sokongan. Terima kasih,” katanya.
Susulan daripada itu, ramai yang berpendapat calon tersebut mungkin agak terkejut atau tidak memahami soalan yang diajukan kepadanya sebelum ini.
Pun begitu, ada juga suara-suara nakal yang masih tidak percaya dan mendakwa video yang direkod itu telah dirancang terlebih dahulu menggunakan skrip.
“Bagi aku tiada masalah besar pun, janji boleh buat kerja tak rembat duit rakyat”.
“Berapa lama nak hafal tu, baca skrip ke”.
“Jadi haritu memang tak boleh la jawab soalan wartawan?,” tulis beberapa netizen.
Sekadar info, sejak semalam, telah berlegar di Twitter mengenai rakaman video berdurasi 58 saat yang memaparkan Leong diwawancara petugas media.
Menerusi video itu, Leong diajukan beberapa soalan berkaitan kredibilitinya untuk membawa kestabilan politik di Melaka.
Bagaimanapun, soalan itu tidak dapat dijawab oleh Leong sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.