Hiburan
Janna Nick Nafi Tolak Tawaran Lakonan Kerana Bayaran Tak Setimpal
Pelakon dan penyanyi popular, Janna Nick menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia menolak tawaran lakonan kerana bayaran yang tidak setimpal.
Menurut Janna, dia akui terpaksa memilih tawaran memandangkan jadual kerjanya semakin sibuk.
"Saya akui kadang-kadang terpaksa memilih tawaran kerana kekangan masa dan jadual kerja yang padat.
"Tidak pernah pula saya menolak tawaran disebabkan bayaran yang ditawarkan itu tidak setimpal," ujarnya.
Janna berkata demikian ketika ditemui di majlis prapelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-32 (ABPBH32) Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Janna menambah, dia juga tidak pernah menaikkan kadar bayaran lakonannya selama lapan tahun berkecimpung sebagai anak seni.
"Saya tak pernah naikkan bayaran lakonan sejak lapan tahun saya bekerja, harganya masih sama.
"Saya selalu ingatkan pengurus agar tidak mengenakan bayaran yang tinggi kepada mana-mana pihak produksi, biarlah kadar bayaran itu biasa-biasa sahaja," tuturnya menutup bicara.
Sedikit info mengenai Janna, populariti pelakon kelahiran Kedah ini mula meluas pada sekitar tahun 2015 menerusi lakonannya dalam beberapa siri drama tempatan.
Janna juga telah memenangi beberapa anugerah berprestij tempatan hasil kejayaannya dalam bidang lakonan.