Isteri kepada pelawak Ali yang juga anggota kumpulan Puteh, iaitu Melati Fitri Abdullah berkongsi keadaan semasa anak kedua mereka, Sharifah Nur Ainul Mardhiah.

Ainul Mardhiah yang baru berusia dua minggu itu, dibawa dari Hospital Ampang ke Hospital Serdang pada Khamis, untuk bertemu pakar jantung di sana.

Melati telah berkongsi mengenai perkara tersebut menerusi kemas kini terbarunya di akaun sosial Facebook (FB).

“Assalamualaikum semua, hari ni adik Ainul dah dibawa ke Hospital Serdang untuk berjumpa dengan doktor pakar jantung.

“Doktor pakar iaitu, Dr. Oii Yin sahkan adik Ainul menghadapi masalah injap jantung terbalik dan mempunyai lubang di bahagian tengah.

“Doktor beritahu keadaan adik Ainul agak serius, dan berita baiknya kata doktor, lubang itulah yang membantu adik Ainul bernafas hingga sekarang,” tulisnya.

Tambah Melati lagi, doktor pakar menyarankan pembedahan dijalankan secepat mungkin dan anaknya kini sedang berada dalam pemantauan doktor.

“Doktor sarankan pembedahan dilakukan seawal mungkin dan adik Ainul sekarang di bawah pemantauan doktor di Hospital Ampang untuk menanti hari pembedahannya tidak lama lagi, kemungkinan dua hingga tiga minggu dari sekarang.

“Semoga adik Ainul kuat dan terus kuat menghadapi dugaan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu Melati turut mengucapkan terima kasih kepada yang telah memberikan kata-kata semangat dan doa yang tidak henti-henti sejak berita mengenai adik Ainul disiarkan.

“Selain doa daripada orang ramai, ramai juga yang berkongsi tips untuk menghadapi situasi sekarang...Hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas budi baik kalian.

“Semoga kalian dimurahkan rezeki dan diberi keredaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Ainul Mardhiah dilahirkan di Pusat Rawatan Islam Kohilal, Taman Melawati pada 6 Ogos lalu.

Selain Ainul Mardhiah, Melati dan Ali mempunyai seorang lagi anak perempuan, iaitu Sharifah Nur Aaira Qaireen berusia dua tahun.