Berita
Jasad Ananda Krishnan Selamat Disemadikan
Jasad Pengerusi Usaha Tegas Sdn Bhd, Ananda Krishnan Tatparanandam selamat disemadikan di Krematorium Loke Yew, Kuala Lumpur pada tengah hari Rabu.
Selamat Disemadikan
Mendiang dibawa keluar dari kediamannya di Brickfields, kira-kira pukul 9.45 pagi untuk dibakar, selepas selesai upacara keagamaan mengikut agama Hindu.
Upacara itu dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga mendiang dan kenalan rapat.
Turut hadir meratapi perjalanan akhir mendiang adalah bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik.
Kediaman itu menyimpan nostalgia yang tidak ternilai buat keluarga Ananda Krishnan, kerana di sinilah tempat kelahiran dan kenangan silam beliau terukir.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang Ramai Beratur Panjang Beri Penghormatan Terakhir Kepada Ananda Krishnan
ARTIKEL BERKAITAN: Bukan Sekadar Tokoh Industri Media, Kemurahan Hati & Kepimpinan Ananda Krishnan Terus Diingati
ARTIKEL BERKAITAN: Astro Komited Teruskan Legasi Ananda Krishnan
Dilahirkan pada 1 April 1938 di Brickfields, ibu negara, Ananda Krishnan memperoleh ijazah dalam Sains Politik dari University of Melbourne dan kemudiannya menamatkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Harvard Business School.
Terkenal dengan sikap rendah dirinya, mendiang membina empayar yang pelbagai merangkumi telekomunikasi, media dan tenaga melalui syarikatnya, Usaha Tegas.
Perjalanannya dalam perniagaan bermula dengan usaha dalam perdagangan minyak, yang akhirnya berkembang menjadi pelaburan dalam teknologi dan media.
Antara pegangan kepentingannya adalah termasuk dalam syarikat telekomunikasi Maxis, Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) dan Bumi Armada Bhd.
Mendiang juga melancarkan MEASAT, yang merupakan perintis kepada industri satelit di Malaysia.
Ananda Krishnan juga komited dalam membantu kebajikan kemasyarakatan dengan melalui yayasannya memberi sumbangan besar kepada pendidikan, seni, sukan dan inisiatif kemanusiaan.
Aktiviti amalnya telah memberikan biasiswa dan sokongan kepada individu yang tidak terkira banyaknya, mencerminkan dedikasinya untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Sumber: Astro Awani