Hiburan
Jasmine Suraya Sambut Baik Isu Tajaan Pendidikan Mendapat Perhatian Menteri
Pelakon Jasmine Suraya menyambut baik dan menghargai kesudian Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang ingin mengkaji lebih lanjut mengenai isu tajaan pengajian yang dibangkitkan olehnya tempoh hari.
“Dalam temu bual bersama rakan media, saya akui ada memohon tajaan pendidikan. Namun tidaklah sehingga tahap meminta-minta. Cuma hanya mencuba nasib.
“Sekiranya diterima, syukur dan apabila tidak diterima, saya memang sudah bersedia awal dari segi kos dan perbelanjaan pengajian,” jelas Jasmine.
Terdahulu, Jasmine atau nama penuhnya, Jasmine Suraya Chin, berkongsi berita keberangkatannya ke Los Angeles selama setahun untuk melanjutkan pengajian dalam bidang method acting.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Jasmine mengakui ada memohon tajaan daripada beberapa pihak, namun akur apabila ia tidak melepasi ke fasa seterusnya.
Tambah Jasmine, bagi menampung kos, dia telah menjual beberapa aset yang dirasakan tidak sesuai untuk disimpan kerana tidak digunakan sepanjang tempoh pengajian.
“Semua kos pengajian adalah daripada duit saya sendiri. Hasil simpanan, jualan aset dan kerja keras saya.
Niat saya memohon tajaan bukanlah bererti untuk mengambil kesempatan, sebaliknya jika diluluskan, sekurang-kurangnya saya boleh berjimat untuk perbelanjaan lain di sana nanti,” tambahnya.
Jasmine bagaimanapun sedikit terkilan apabila kenyataannya itu disalah erti seolah-olah menggambarkannya menggunakan tiket sebagai selebriti untuk meraih perhatian pihak kementerian berkaitan.
“Ingin saya jelaskan di sini, saya meluahkan pendapat di mana anak seni yang mempunyai potensi besar serta mendapat tawaran melanjutkan pengajian di universiti hebat juga mungkin boleh dipertimbangkan permohonan tajaan mereka.
“Saya juga ada berkongsi kegusaran saya untuk anak-anak Malaysia lain yang mempunyai bakat namun tidak berkemampuan juga harus diberikan peluang menerima tajaan pendidikan terutamanya di universiti ternama. “Mana tahu satu hari nanti mereka mampu mengharumkan nama negara dan menyumbang kepada ekonomi negara terutamanya dalam bidang perfileman,” katanya lagi.
Jasmine berharap, penjelasan ini membuka mata semua pihak di mana setiap orang termasuk anak seni layak diberikan peluang menerima tajaan pendidikan menerusi saluran yang betul.
Bercerita mengenai tawaran pengajiannya itu, Jasmine yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang lakonan di Lee Strasberg Theatre and Film Institute di Los Angeles merupakan satu-satunya anak Malaysia yang diterima untuk pengambilan kali ini.
Untuk rekod, Institusi itu pernah melahirkan alumni hebat bertaraf bintang seperti Lady Gaga, Angelina Jolie dan Scarlett Johansson.
Berita Trending: Kerajaan Sedang Pertimbang Bantu Jasmine Suraya ...
Must-Watch Video