Penyanyi Jason Jonathan Lo dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat rakaman berjumlah lebih RM200,000, tahun lalu.

Jason Lo atau lebih dikenali sebagai 'LO' atau 'J Lo', 45, dan Muhammad Yakub Hussaini, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu adalah pengarah syarikat Fat Boys Records Sdn Bhd yang diamanahkan wang berjumlah RM232,500 didakwa melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang syarikat berkenaan untuk kegunaan sendiri.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Mont Kiara, di sini pada 24 April dan 14 Mei 2019 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM30,000 kepada setiap tertuduh.

Peguam Alfred Chong yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dan memberitahu anak guamnya juga akan mematuhi segala syarat yang akan ditetapkan oleh mahkamah.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 setiap seorang dan menetapkan 2 Oktober untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada November tahun lalu, Jason Lo turut dituduh di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menceroboh sebuah rumah dan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Sumber: BERNAMA