Jatuh Dalam Bilik Air, Anak Salima Jalani Pembedahan Plastik

Mya Amri
Mac 12, 2018 06:01 MYT
Bekas bintang Akademi Fantasia (AF 4) Salima memberitahu anak lelakinya terpaksa menjalani pembedahan plastik di bahagian dagu akibat terjatuh dalam bilik air.
Menurut Salima, doktor telah mencadangkan supaya Rayyan, 3, menjalani pembedahan plastik kerana luka yang dialaminya agak dalam.
“Rayyan terjatuh di bilik air dirumah pengasuhnya dan mengalami luka di dagu.
“Tiba di klinik, doktor mencadangkan supaya Rayyan dirawat dihospital kerana lukanya tak boleh bius biasa dan kena bius seluruh badan.
“Sampai di hospital pertama, doktor terus nasihatkan untuk pembedahan plastik sebab kalau jahit biasa akan tingalkan parut yang buruk dan lukanya dalam, tidak boleh sekadar jahit luar tetapi hospital tersebut tiada pakar untuk pembedahan plastik.
“Kami suami isteri terus ke hospital yang seterusnya dan bila tengok luka Rayyan, doktor kata luka Rayyan agak dalam dan perlu dijahit tiga lapisan secara pembedahan," tulisnya menerusi akaun Instagram (IG) semalam.
Bagaimanapun menerusi entri terbarunya sebentar tadi, Salima memaklumkan Rayyan telah selamat menjalani pembedahan dan sedang berehat.
“Selesai dah. Alhamdulillah. Terima kasih kepada yang mendoakan. Nak bagi dia rehat sekejap,” tulisnya ringkas.
Salima berkahwin dengan Syed Abd. Kadir Syed Hussin Aljoofre pada 30 November 2013.
Foto: Instagram @salimahabibi
Teks oleh: Mya Amri
#Penyanyi #Anak #Penyanyi #Salima Habibi