Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Laman Utama

‘Jauh Hati’ Shila Amzah Fasal Bekas Suami; “Dia Patut Bangga, Siapa Je Nak Tulis Lagu Fasal Dia…”

Shahrin Zulkifle 17/12/2022 | 03:00 MYT

Pengalaman pernah mendirikan rumah tangga dan beberapa kisah ‘pahit’ yang dialami sewaktu bergelar isteri dikongsikan oleh penyanyi Shila Amzah dalam lagu terbaharunya berjudul Jauh Hati.

Menariknya, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Nur Shahila Amir Amzah, 32, itu menceritakan mengenai kisah hidupnya yang dilalui bersama bekas suami, Haris Idraki.

Malah dedah Shila, lirik lagu tersebut dihasilkan sehari sebelum dia dan anaknya keluar daripada kediaman yang didiami bersama Haris kira-kira setahun yang lalu.

Jauh Hati mengisahkan bekas suami

“Lirik dan melodi lagu Jauh Hati saya buat sehari sebelum saya dan anak keluar daripada rumah yang kami (Shila dan Haris) tinggal bersama.

"Kalau diamati lirik lagu ini, saya tidak menafikan ia menceritakan mengenai kisah hidup saya. Ia mengisahkan kisah peribadi saya pada ketika itu bersama dia (bekas suami).

“Walaupun dah lama berlalu, saya masih tetap juga boleh rasa keperitannya,” ujarnya.

Shila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Jauh Hati bertempat di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Bekas suami patut bangga

Dalam pada itu, bekas bintang Gegar Vaganza 9 itu menjelaskan, bekas suami seharusnya berasa bangga apabila kisah perkongsian hidup mereka berdua diceritakan dalam sebuah lagu.

“Saya tahu dia macam mana, mustahil dia nak rasa tak puas hati dengan saya.

“Kalau dia tahu lagu ini saya tulis berkenaan dengan kisah hidup bersama dia, dia patut rasa bangga. Sebab siapa je nak tulis lagu pasal dia.

“Saya sangat terbuka dan tidak lagi berasa takut. Saya tahu dia memahami diri saya yang suka menulis,” tambahnya.

Hati tenang lancarkan Jauh Hati

Sementara itu, pelantun lagu Patah Seribu itu mengakui dirinya menjadi lebih tenang selepas ‘episod hitam’ yang terjadi padanya sudah berlalu.

“Kehidupan saya selepas habis dengan kisah ‘tersebut’ saya lebih tenang dan lega, malah rasa sangat ringan. Setelah habis semua proses tersebut perasaan yang boleh digambarkan sangat luar biasa.

“Adakala saya rasa macam dapat balik kehidupan asal saya, rasa lebih muda, hidup lebih bermanfaat dan lagi ceria.

“Oleh itu, dengan perasaan yang tenang sekarang inilah masa yang sesuai untuk saya release Jauh Hati. Kalau saya terus keluarkan betul-betul lepas saya tulis lagu ini, saya tak rasa saya kuat,” tambahnya.

Untuk info, Shila dan Haris mendirikan rumah tangga pada April 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Seth Uwais yang kini berusia dua tahun. Bagaimanapun usia perkahwinan mereka sekadar bertahan selama empat tahun sebelum disahkan bercerai pada Februari 2022.

BACA: Selepas 4 Tahun Mendirikan Rumah Tangga, Shila Amzah Bercerai.

Jauh Hati kini boleh didapati di seluruh platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox dan banyak lagi. Manakala muzik video rasmi Jauh Hati boleh ditonton di Youtube rasmi Nova Music Videos.

#Gegar Vaganza #Shila Amzah #Bekas Suami #GV9 #Jauh Hati
;