Penyanyi Sufie Rashid menjelaskan dia dan isteri, Nurulain Md Yusuf dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

Jelas Sufie, mereka berdua mempunyai alasan tersendiri untuk tidak memiliki cahaya mata pada awal usia perkahwinannya.

“Masa masuk setahun usia perkahwinan ramai yang bertanyakan tentang anak kepada saya dan isteri, jawapan kami dalam perancangan.

“Saya dan Nurulain sudah pasti mahukan yang terbaik untuk keluarga kami, jadi kami perlu melakukan perancangan yang serapi boleh untuk memastikan anak kami mendapat kasih sayang yang cukup.

“Insya-Allah doakan, perancangan kami adalah pada tahun depan untuk menimang cahaya mata.

“Namun berbalik juga dengan rezeki Allah, jika ada Alhamdulillah,” katanya kepada Gempak ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Juara Akademi Fantasia 13 itu lagi, ketika ini fokusnya hanya untuk bekerja bagi memastikan dia dapat menyediakan kemudahan terbaik buat bakal cahaya matanya kelak.

“Sewaktu PKP hari tu masa kami baru berkahwin, perkara ini sudah kami bincangkan dari awal lagi, untuk ada anak pada sekian tahun.

“Jadi sekarang ini kami berdua sedang fokus bekerja mengumpul harta untuk kemudahan anak kami nanti. Sudah pasti kami sebagai ibu bapa mahu segalanya pada tahap terbaik.

“Saya dan Ain masing-masing ada bisnes, Ain fokus dengan perniagaan dia, saya fokus dengan kerjaya dan perniagaan saya.

“Apa yang saya boleh katakan, isteri saya memang seorang yang sangat memahami, I love her so much!” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sufie bakal mengeluarkan beberapa single terbaru buat peminatnya yang dijangka keluar hujung tahun.

Untuk info, Sufie dan Nurulain selamat bernikah pada 21 September 2020 di Pulse Grande Hotel Putrajaya.