Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
SUKAN

JDT Julang Piala Malaysia, Persembahan Artis Popular Meriahkan Stadium Nasional Bukit Jalil

Khairil Khusyairi 26/04/2025 | 18:50 MYT
Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bergema dengan sorakan dan kemeriahan luar biasa apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik malam tadi.
Lebih membanggakan, kehangatan perlawanan akhir turut diserikan dengan persembahan artis popular tanah air yang memukau ribuan penonton yang hadir.
Acara pembukaan dimeriahkan dengan persembahan daripada Krisya yang mengalunkan lagu tema ikonik Keluang Man, diikuti dengan kemunculan istimewa Nas T yang tampil sebagai watak Keluang Man.
Menambahkan lagi suasana meriah, Hael Husaini dan Nadeera turut membuat persembahan pra-perlawanan dengan menyampaikan lagu-lagu hits mereka seperti Kelentang-Kelentong dan Meriah Lain Macam, menaikkan semangat para penyokong kedua-dua pasukan sebelum sepak mula.
Tepat jam 8:45 malam, pentas diambil alih oleh penyanyi legenda negara, Datuk M Nasir, yang menggamatkan stadium dengan dua buah lagu malar segar, Mantera Semerah Padi dan Tanya Sama Itu Hud Hud.
Sebaik sahaja tamat separuh masa pertama, ratu rock negara, Ella, mengambil alih pentas dan menghiburkan penonton dengan lagu hits Kesal.
Persembahan Ella mencapai kemuncaknya apabila beliau mengalunkan lagu keramat Standing In The Eyes Of The World, yang disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh seluruh stadium.
Di atas padang, aksi penuh intensiti antara JDT dan Sri Pahang FC menyaksikan JDT terus unggul sebagai kuasa besar bola sepak tanah air apabila menewaskan Sri Pahang 2-1, sekaligus menambah koleksi kejuaraan mereka dalam saingan Piala Malaysia.
Final Unifi Piala Malaysia dibawakan secara langsung dengan Astro ONE atau sooka.
#Artis #Final #Persembahan #Malaysia” #“Piala