Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

“Jenazah Abang Ipar Mungkin Tak Diawet, Hospital Cadang Guna Larutan Formalin” - Riezman Khuzaimi

Umirah Halim 05/05/2025 | 08:55 MYT

Pelakon, Riezman Khuzaimi berkongsi perkembangan terkini mengenai jenazah abang iparnya, Allahyarham Rennie Abdul Ghani, yang meninggal dunia selepas terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani, Indonesia.

Menurut Riezman, 55, jenazah Allahyarham telah berjaya dibawa naik dari tempat Allahyarham terjatuh pada jam 6:15 pagi semalam.

Disebabkan helikopter tidak dapat mendarat di lokasi tersebut, pasukan penyelamat terpaksa mengusung jenazah secara manual ke bawah.

“Alhamdulillah semalam pukul 6:15 pagi mereka keluarkan jenazah dari tempat dia jatuh. Jenazah telah di bawa keluar daripada gaung naik ke atas checkpoint pintu gerbang Toren dan tiba pada pukul 8 malam dekat pintu gerbang, sebab helikopter tak boleh landing jadi mereka terpaksa usung jenazah itu.

“Dari laluan Toren ke hospital di Lombok mengambil masa tiga jam. Setakat ini, pihak hospital sudah bersihkan dan simpan, saya dah minta pihak hospital mandi dan kafankan,” katanya.

Riezman berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media KamiSempoi Golden Award 2024 di ibu negara pagi tadi.

Selain itu, Riezman turut memaklumkan bahawa dokumentasi sedang diselesaikan bersama kedutaan Malaysia di Jakarta sebelum jenazah dibawa pulang ke tanah air.

Malah, pihak hospital juga telah menyarankan alternatif untuk menyuntik larutan formalin ke dalam tubuh jenazah tanpa perlu melalui proses pengawetan yang memerlukan pengeluaran organ.

Namun, segala keputusan tersebut diserahkan kepada pihak isteri dan anak-anak Allahyarham.

“Saya dah periksa dengan Air Asia ada kargo, apa yang saya tahu untuk bawa pulang jenazah dari luar negara masuk ke Malaysia perlu diawetkan.

“Kalau ikut prosedur awet semua organ dalaman perlu dikeluarkan bagi saya ia menyiksa jenazah dan tidak digalakkan saya lebih memilih untuk kebumi di sana.

“Tetapi terpulang kepada isteri dan anak-anak arwah juga, malam tadi pukul 3 pagi hospital telefon mereka beritahu boleh bawa pulang tanpa keluarkan organ-organ dengan menyuntik cecair larutan formalin ke dalam tubuh mayat kerana penerbangan dari lombok ke malaysia tidak lama hanya tiga jam.

“Sebaik sahaja dokumentasi daripada kedutaan Malaysia selesai dan kemudian akan di hantar ke kedutaan besar Malaysia - Jakarta.

“Keputusan untuk bawa balik jenazah atau kebumi disana akan dibuat hari ini.

“Kalau semua urusan berjalan lancar, Insya Allah esok akan tiba 9 malam di KLIA2,” kongsinya.

Berkongsi mengenai kenangan terakhir bersama Allahyarham, Riezman memaklumkan pertemuan terakhir mereka dua minggu lalu sebelum arwah berangkat mendaki masih segar di ingatannya.

“Arwah ada cakap ini kali terakhir dia nak panjat gunung selepas ini dia mahu sertai marathon.

“Arwah juga sudah beli kasut (untuk marathon) jadi dia nak ikut saya. Tak perasan itu mungkin kata-kata terakhir dia.

“Agak sedih kerana terngiang-ngiang dua minggu lepas baru duduk berjumpa dengan dia ketika dia mahu buat persediaan untuk mendaki.

“Dia pergi 1 hari bulan dia terus pergi ke lapangan terbang, saya ada event ketika itu,” ujarnya lagi.

Sabtu lalu, media melaporkan seorang pendaki warga Malaysia terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pihak taman negara memberitahu, pendaki yang dikenali dengan inisial RAG itu dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip.

Allahyarham memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan oleh puluhan anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian Dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.

#Abang Ipar #khuzaimi #riezman #'sedih