Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Jenazah Adik Thaqif Digali Semula Untuk Diambil Sampel Kaki

Syafiqah Jalal
20/05/2017 01:14 MYT
Kubur pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, yang meninggal dunia pada 26 April lalu digali semula kemarin.

Menurut laporan Berita Harian, ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad, mengesahkan proses berkenaan dilakukan bagi membolehkan sampel kaki Allahyarham diambil untuk siasatan.

"Memang benar kubur Thaqif digali semula petang tadi dengan disaksikan beberapa ahli keluarga bagi membolehkan sampel kaki Allahyarham diambil untuk tujuan siasatan lanjut.

"Selain pihak hospital, polis dan pihak mahkamah turut berada di lokasi ketika proses menggali kubur arwah dilakukan, " katanya.

Kubur berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam FELDA Bukit Aping, Kota Tinggi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan proses berkenaan yang dilakukan jam 3 petang tadi.

"Proses ini dibenarkan oleh mahkamah mengikut Seksyen 335, Kanun Acara Jenayah bagi tujuan siasatan lanjut kes berkenaan," katanya.

Mohamad Thaqif dikatakan dipukul dengan paip getah pada tapak kakinya sehingga menyebabkan kecederaan yang mana kedua-dua belah kakinya dipotong pada 21 April lalu, dipercayai akibat jangkitan kuman.

Tangan kanannya yang turut dipercayai dijangkiti kuman sepatutnya dipotong bagi menyelamatkan nyawanya pada pagi 26 April tetapi ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil sebelum mangsa disahkan meninggal dunia jam 2.05 petang di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Sumber/Foto: Berita Harian