Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Jenazah Muslim Covid-19 Meningkat, Dr Zulkifli Bakal Ubahsuai Kontena Mayat

Syafiqah Jalal
23/07/2021 07:50 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menijau proses pengurusan jenazah Muslim yang menjadi mangsa Covid-19 di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Menurut Dr Zulkifli jenazah muslim Covid-19 meningkat dan ia sedikit menyukarkan kelancaran pengurusan jenazah di situ.

“Saya di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi meninjau proses pengurusan jenazah Muslim yang menjadi mangsa COVID-19.

“Saya diberi taklimat berkenaan proses yang diuruskan oleh pihak hospital dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Jumlah jenazah Muslim COVID-19 yang meningkat, sedikit menyukarkan kelancaran pengurusan jenazah di sini.

“Bagi mendapat gambaran yang lebih jelas saya dibawa melihat sendiri proses pengurusan jenazah bermula di bilik mayat, solat jenazah, sehinggalah ke kontena yang bakal memuatkan jenazah. Saya lihat wajah barisan hadapan di sini menggambarkan keletihan mereka,” katanya.

Dr Zulkifli berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut beliau memuat naik rakaman video ketika berada di bilik jenazah tersebut.

Prihatin dengan kesukaran yang dialami oleh barisan hadapan menguruskan jenazah, Dr Zulkifli memberitahu kerajaan prihatin dengan situasi tersebut dan bakal membantu.

“Kerajaan amat prihatin dengan situasi yang dihadapi oleh warga HTAR ini. InsyaAllah kami akan bantu daripada sudut, penambahan pasukan pengurusan jenazah dan ubahsuai kontena sedia ada agar ia boleh digunakan secara optimum dan selesa.

“Walaupun tidak lagi bernyawa, Islam mengajarkan kita untuk memuliakan jenazah dengan memastikan dua elemen dijaga dengan baik iaitu diuruskan secepat mungkin dan diuruskan dengan penuh kehormatan,” beritahunya.

Entri tersebut mendapat perhatian pengikutnya yang menyokong usaha agamawan tersebut.

A post shared by Menteri di JPM (HEA) (@drzulkifli.albakri)

#COVID-19 #Jenazah #Mayat #Dr Zulkifli #Kontena