Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Jenazah Nidza Afham Selamat Dikebumikan

Khairil Khusyairi
15/08/2024 10:41 MYT
Jenazah Allahyarham Nidza Afham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah, Puncak Alam, pada jam 6.30 petang Khamis.

Penuh hiba, pengebumian Allahyarham berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 400 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara dan rakan terdekat.

Jenazah sebelum ini dimandi dan dikafankan di Unit Jabatan Forensik, Hospital Shah Alam sejurus selesai proses bedah siasat.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Puncak Alam untuk disolatkan.

Terdahulu, Afham yang aktif membuat persembahan dilaporkan hilang selepas keluar berjogging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri pada Selasa malam.

Teman wanita mangsa kemudiannya mengesan telefon bimbit mangsa berdekatan jambatan Sungai Klang selepas gagal dihubungi.

Susulan itu, keluarga mangsa bergegas ke tempat kejadian turut menemui telefon bimbit dan dompet milik mangsa.

Pada Rabu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di sekitar jambatan Sungai Klang kira-kira jam 7 malam tadi adalah Nidza Afham.

Mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang sedang memancing di kawasan berkenaan.

Jenazah akan melalui proses bedah siasat sebelum dikebumikan pada Khamis Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah.
#Nidza Afham #Afham #Nidza