Hiburan
Jep Sepahtu Lebih Selesa di Radio Berbanding TV
Pelawak Jep Sepahtu mengakui mengehadkan penglibatannya dalam dunia komedi sejak bergelar penyampai radio Sinar fm.
Menurut Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 31, dia selesa bekerja di slot Sepahtu Sinar yang turut dikendalikan oleh dua rakan baiknya, Shuib dan Rahim R2.
“Kali terakhir saya terlibat dengan program komedi ialah menerusi Sepahtu Reunion. Saya mula jatuh cinta dengan kerjaya penyampai radio kerana sukakan suasana kerja di Sinar fm.
"Tambahan pula, saya bila dah seronok dengan sesuatu kerja, saya akan betul-betul fokus,” kata Jep kepada Astro Gempak ketika ditemui sidang media tayangan program Ramadan 2016 Astro, baru-baru ini.
Selain itu menurutnya, keserasian dan tiada tekanan kerja juga antara faktor mengapa dia memilih untuk tidak muncul menjayakan program-program komedi di kaca televisyen.
“Chemistry kami bertiga di Sepahtu Sinar antara faktor utama mengapa saya semakin seronok bekerja di radio. Kalau di konti, cara kerja kami lepak dan santai macam berborakdi kedai mamak. Saya boleh kongsi pelbagai cerita atau kisah menarik kepada pendengar di seluruh Malaysia,” ujarnya.
Mengulas mengenai lakonan, Jep berkata dia hanya akan menerima tawaran sekiranya tidak menganggu jadual kerjanya di radio.
“Sebenarnya dari dahulu lagi saya agak memilih apabila menerima sebarang tawaran kerja atau lakonan sekiranya memberi keselesaan diri sendiri. Saya tidak mahu bersikap tamak atau buat perjanjian secara suka-suka, nanti menyusahkan pihak produksi atau radio di kemudian hari.
“Jadi saya hanya akan terima tawaran jika betul-betul ada masa lapang. Tambahan komitmen di radio sebenarnya lebih besar kerana selepas slot Sinar Sepahtu berakhir kami bertiga perlu adakan perjumpaan untuk fikir konsep dan idea untuk keesokan harinya,” katanya.
Dalam pada itu, Jep turut memberitahu dia masih bergelar pelawak walaupun sibuk sebagai penyampai radio.
“Saya bukan berhenti berlawak. Kalau di Sepahtu Sinar sendiri kami masih kekalkan elemen komedi untuk hiburkan para pendengar. Tiada istilah saya mahu tinggalkan kerjaya asal sebab saya sendiri bermula dengan bidang lawak,” katanya.
Dalam perkembangan lain di bulan Ramadan, Jep bakal muncul dengan dua buah telemovie iaitu Sepahtu-Kisah Tauladan dan Sepahtu-Mercun Raya yang akan di siarkan di Astro Ria (104) pada 18 Jun dan 1 Julai bermula jam 9 malam.
Must-Watch Video