Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Jerebu, Kehilangan Acap, Kes bunuh Altantuya &... Ini Berita Paling Gempak Sepanjang 2019!

Hanafis Haris
25/12/2019 01:18 MYT
Tidak lama lagi 2019 bakal melabuhkan tirai, namun tidak lengkap rasanya jika kita tidak mengimbau kembali apa yang telah berlaku khususnya di Malaysia.

Baik isu pencemaran udara hinggalah permasalahan jenayah yang sedikit sebanyak menjadi perbualan ‘hangat’ rakyat Malaysia.

Gempak rangkumkan lapan berita yang menjadi tumpuan sepanjang 2019!

#1 Pencemaran Pasir Gudang



Lokasi Pasir Gudang yang terletak di Johor mencuri tumpuan rakyat Malaysia apabila berlakunya insiden pencemaran yang bukan hanya sekali, tapi sebanyak dua kali!

Pada bulan Mac, pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim telah menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah ditutup.

Pada Jun pula, pencemaran sekali lagi berlaku di Pasir Gudang hingga menyebabkan ramai yang sesak nafas dan muntah.

#2 Isu Jerebu Malaysia Paling Teruk!



Malaysia mencatat sejarah hitam pada September lalu apabila menjadi negara yang mempunyai i kadar Air Quality Index (AQI) paling tinggi iaitu sehingga 218 AQI.

Antara kawasan paling teruk dilanda jerebu ketika itu adalah di Kuala Lumpur dan Sarawak.

#3 Kehilangan Acap



Antara berita yang menyedihkan 2019 apabila Mohamad Ashraf Hasan, 29 atau lebih mesra dipanggil Acap dilaporkan hilang selepas menyeratai larian Goreng Ultra Trail, Mac lalu.

Hingga kini Acap masih belum ditemui, malah usaha pasukan mencari dan menyelamat (SAR) oleh pihak berwajib juga telah dihentikan.

#4 Kes Adib Akhirnya….



Selepas hampir setahun, kes yang meragut nyawa Muhammad Adib, 24, susulan kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November 2018 akhirnya terjawab.

Mahkamah Koroner akhirnya memutuskan punca kematian anggota bomba itu berpunca perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali.

#5 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V Cerai



Status perkahwinan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dengan wanita warga Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko juga antara yang tergempar tahun ini.

Menerusi kenyataan peguam Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua mengesahkan pasangan itu sah bercerai talak tiga pada 22 Jun lalu.

"Dimaklumkan bahawa baginda telah bercerai talak tiga dengan Rihana Oxana Gorbatenko pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah Kelantan telah mengeluarkan Surat Perakuan Perceraian pada 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002,” katanya.

#6 Operasi 80 Tahun Utusan Malaysia Berakhir

Utusan Melayu (M) Berhad, akhbar Melayu pertama yang telah diwujudkan sejak 1939 dihentikan operasi secara rasmi pada Oktober lalu.

Sebelum ini, syarikat itu telah dilaporkan berdepan risiko selepas menghadapi masalah kewangan dan tidak lagi mampu membayar gaji pekerja.

Dianggarkan 800 pekerja telah diberhentikan.

#7 Polio Kembali Selepas 20 Tahun



Setelah 27 tahun bebas daripada virus polio, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 8 Disember lalu memaklumkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit itu.

Bayi itu mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi sebuah hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1).

#8 Kes Bunuh Altantuya: Teks Penuh Akuan Bersumpah Azilah Hadri


Kes pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu kembali menjadi topik paling hangat 2019 apabila teks akuan bersumpah bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) didedahkan.

Dalam teks itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa terbabit memberi arahan pembunuhan Altantuya.

Najib walaubagaimanapun menyangkal dakwaan tersebut dengan melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru, 20 Disember lalu.
#Viral #Viral #2019
;