Jessie J Dedah Diagnosis Kanser Payudara Peringkat Awal
Penyanyi British Jessie J mendedahkan bahawa beliau telah didiagnosis menghidap kanser payudara peringkat awal dan merancang untuk menjalani pembedahan selepas membuat persembahan di acara Summertime Ball bulan ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penyanyi Price Tag berusia 37 tahun itu berkata dalam satu video di Instagram bahawa beliau banyak menghabiskan masa menjalani pelbagai ujian kebelakangan ini.
"Saya disahkan menghidap kanser payudara peringkat awal," katanya.
"Kanser memang menyakitkan dalam apa jua bentuk, tetapi saya berpegang pada perkataan 'peringkat awal'.
Jessie, atau nama penuhnya Jessica Cornish, berkata beliau memilih untuk berkongsi diagnosis itu secara terbuka bagi membantunya menerima kenyataan tersebut dan sebagai tanda solidariti dengan individu lain yang menghadapi situasi sama.
"Saya hanya mahu bersikap terbuka dan berkongsi," katanya.
"Pertama, secara egoisnya, saya rasa saya tidak bercakap mengenainya secukupnya. Saya belum memprosesnya kerana terlalu sibuk bekerja.
"Saya juga tahu bahawa perkongsian seperti ini sebelum ini banyak membantu saya - dari segi sokongan, kasih sayang, dan kisah-kisah orang lain. Saya ibarat buku terbuka.
"Sungguh menyedihkan bahawa ramai orang lain juga sedang melalui situasi yang serupa atau lebih teruk - itu yang paling menyakitkan."
Beliau menambah: "Masa berlakunya agak gila tetapi juga membawa keindahan serta memberi saya perspektif luar biasa dalam tempoh ini.
"Tapi sejujurnya, saya perlu memproses perkara ini, perlu bercakap tentangnya, dan saya perlukan pelukan. Anda semua telah menyayangi saya dalam saat baik dan sukar. Saya tidak mahu yang ini jadi pengecualian."
Jessie menyambut kelahiran anak lelakinya, Sky Safir Cornish Colman, pada 2023 selepas mengalami keguguran pada November 2021.
Sepanjang hidupnya, beliau turut berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit jantung sejak berusia lapan tahun, mengalami strok kecil pada usia 18, dan kehilangan pendengaran buat sementara waktu pada 2020.
Jessie dijadual membuat persembahan di acara Summertime Ball anjuran Capital di Stadium Wembley pada Ahad, 15 Jun.
Sumber: Astro AWANI