HIBURAN
Jessie J Pilih Amsyar Lee - “Awak Ada Aura Ala-Ala…”
Nyanyian pertama penyanyi, Amsyar Lee di pentas Sing Asia berjaya memukau barisan juri professional.
Membawakan lagu Cinta nyanyian asal Marsha Milan dengan sebaiknya, Amsyar atau Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri berjaya mengalahkan pencabar terdekatnya Yang Run Ze dengan 20 undian.
Menurut juri Sing Asia, Jessie J pelantun lagu Buai itu mempunyai suara yang sangat menakjubkan.
“Saya rasa ia sangat menakjubkan, tapi kalau boleh saya nak awak bergerak kerana nampak kaku di atas pentas.
“Gunakan pentas ini dan tunjukkan kuasa awak. Awak ada aura ala-ala Freddie Mercury.
“Saya sangat suka Malaysia,” ujar Jessie J.
Malah para juri juga menyifatkan Amsyar mempunyai suara yang unik serta menyamakan Amsyar dengan seorang penyanyi China, Zhou Shen.
Sekadar info, Amsyar telah melalui proses saringan secara tertutup dan dipilih oleh pihak produksi Sing Asia kerana merasakan dia mempunyai suara yang unik.
Sing Asia merupakan program nyanyian yang bertujuan mencari dan mengasah bakat penyanyi muda di Asia.
Menariknya, program ini diadakan di atas kapal persiaran mewah yang akan berlayar di Okinawa (Jepun), Ha Long Bay (Vietnam), Singapura, Klang (Malaysia), sebelum kembali ke Hong Kong.
Selain Jessie J, nama besar lain yang turut terlibat dalam rancangan ini ialah penyanyi pop China Zhang Liangying, ikon pop Jepun Kudo Shizuka, dan pemenang empat Anugerah Golden Melody, Tanya Chua.