Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Gaya Hidup

Jia Wei Raih Gelaran Sulung Antarabangsa

Syafiqah Jalal 27/03/2017 | 03:32 MYT
Pemain muda negara, Tan Jia Wei meraih gelaran sulung di pentas antarabangsa selepas menjuarai kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland di Warsaw, Poland pada Ahad.
Pemain bukan pilihan itu membuat kejutan dengan menewaskan pilihan keempat Coelho Ygor dari Brazil 21-13, 20-22, 21-10 dalam final perseorangan lelaki, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.
Naib juara remaja wanita dunia 2015, Lee Ying Ying, bagaimanapun gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 21-13, 19-21, 10-21 di tangan pilihan ketiga, Yui Hashimoto dari Jepun di final perseorangan wanita.
Cabaran wakil negara dalam acara perseorangan lelaki dan beregu campuran berakhir di pusingan awal kejohanan yang menawarkan hadiah wang AS$20,000 (RM88,510).
Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi gagal meraih gelaran dalam acara beregu wanita selepas tewas di final Cabaran Antarabangsa Vietnam di Stadium Cau Giay, Hanoi semalam.
Jing Yi yang beralih ke acara beregu bulan lalu dengan digandingkan Joyce Choong Wai Chi, bagaimanapun memberi tentangan sengit kepada pilihan ketujuh Erina Honda-Nozomi Shimizu dari Jepun sebelum tewas 14-21, 21-19, 14-21 dalam pertarungan selama 52 minit.
Cabaran negara dalam acara perseorangan dan beregu lelaki serta beregu wanita berakhir lebih awal di kejohanan ini.
Sumber: Bernama
#badminton #Tan Jia Wei
;