Pasangan pelakon Jihan dan Ungku Hariz mendedahkan mereka masih belum membuat persiapan menjelang kelahiran cahaya mata sulung mereka pada awal tahun depan.

Kandungan Jihan yang kini sudah memasuki usia lima bulan kata Ungku Hariz tidak mencemaskan mereka hingga terlalu taksub membeli barangan kelengkapan bayi.

"Baik saya mahupun Jihan kami belum membuat apa-apa persediaan menyambut kelahiran bayi sulung kami.

"Kata orang beli dahulu sedikit-sedikit tetapi mungkin kami bukan pasangan sebegitu. Entah-entah sehari sebelum bersalin baru kami gelabah.

"Alhamdulillah, bayi dalam kandungan sihat namun kami mengambil keputusan untuk tidak ingin mengetahui jantina bayi kami.

"Begitu juga nama, setakat hari ini kami belum memilih nama untuk anak yang bakal dilahirkan," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Ungku Hariz, dia gementar untuk menjadi seorang bapa namun pelakon drama Biniku Ninja itu mendapatkan panduan dan nasihat daripada kenalan dan keluarganya.

"Perasaan sekarang memang gemuruh untuk bergelar seorang bapa namun saya lebih banyak mendapatkan nasihat daripada kenalan rapat yang sudah menimang cahaya mata pada usia muda.

"Selain itu, ahli keluargalah yang paling banyak memberikan panduan kepada saya," tambahnya.

Ungku Hariz atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 32, telah mendirikan rumah tangga dengan pengacara televisyen dan pelawak terkenal Jihan Muse pada 20 Mac 2016.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @ungkuhariz @jihanmuse