Baru-baru ini tular satu video memperlihatkan seorang lelaki dicekup selepas disyaki melakukan perbuatan yang tidak senonoh di dalam tandas perempuan di sebuah pusat membeli belah di Masai, Johor.

Menerusi video yang dimuat naik di aplikasi X, dilihat suspek dipegang beberapa orang lelaki sambil kedengaran suara seorang wanita yang meminta ‘password’ daripada suspek untuk membuka telefon bimbitnya.

Difahamkan, wanita itu mahu memeriksa telefon bimbit lelaki berkenaan yang dipercayai merakam video mangsa ketika menggunakan tandas di pusat membeli belah tersebut.

“Sebut password kau sekarang! Kau jangan tipu aku, aku rembat kau nanti. Oh tahu kau malu tapi masa kau masuk tandas perempuan kau tak malu?” ujarnya.

Apa yang membuatkan netizen bertambah berang apabila melihat jari kaki suspek itu masih mempunyai inai.

“Kaki berinai, mana tudung kau, pakai, siap bertudung berjanggut masuk tandas perempuan rakam gambar, kau nak jadi apa, kau dah kahwin ke belum?” soal individu yang berada di tempat kejadian.

Dalam perkembangan terbaru, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian itu berlaku kira-kira 11 pagi Ahad, sebelum lelaki berusia 23 tahun itu diserahkan oleh orang awam kepada pihak polis.

“Hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata permohonan reman atas suspek juga akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Johor Bahru hari ini, untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang negara serta sebarang maklumat kejadian hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” ujarnya.