Hiburan
Jika Berpeluang, Saya Akan..." - Fattah Amin Kongsi Amalan Sepanjang Kehamilan Fazura
Pelakon popular, Fattah Amin berkongsi beberapa tips yang diamalkan sepanjang kehamilan isterinya, pelakon Nur Fazura yang kini memasuki bulan ketujuh.
Antara perkara yang selalu diamalkan Fattah adalah membaca surah Yusuf dan Mariam.
"Setiap kali selepas balik kerja, jika berpeluang, saya akan luangkan masa untuk membacakan beberapa surah untuk anak kami di dalam kandungan itu.
"Antara surah yang saya baca adalah surah Yusuf dan Mariam, Insya-Allah, saya percaya akan kebaikan membaca surah-surah ini kepada bayi dalam kandungan," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Fattah juga akui Fazura menunjukkan sedikit perubahan dari segi 'mood' ketika sedang hamil.
Namun, juara Hero Remaja 2012 ini sentiasa bersabar dan melayankan sahaja kerenah isterinya.
"Saya faham, sudah tentu wanita yang sedang hamil akan mengalami sedikit perubahan dari segi mood mereka, begitu juga isteri saya.
"Tetapi, sebagai suami, saya perlu banyak bersabar dan sentiasa berada di sisi dia, layankan sahaja kerenahnya," katanya lagi.
Terdahulu, pasangan kegemaran ramai ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.