Permainan lato-lato perlu diharamkan daripada dijual dan digunakan sebagai permainan kanak-kanak di negara ini kerana mengundang risiko keselamatan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadir berkata, adalah tidak wajar sekiranya Malaysia meluluskan permainan yang merbahaya kepada pengguna khususnya golongan kanak-kanak.

Justeru, tindakan segera daripada pihak berkuasa perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

“Persoalannya bagaimana ia boleh masuk Malaysia? Jika negara lain boleh haramkan, kenapa kita mesti luluskan?

“Pada 10 tahun lepas CAP ada menyuarakan tentang garis panduan untuk permainan kanak-kanak melibatkan keselamatan kerana tinjauan CAP mendapati kebanyakan permainan kanak-kanak diimport dari luar negara tidak disahkan selamat kerana tidak mengikut garis panduan dari negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun Malaysia sudah mempunyai garis panduan bagi permainan kanak-kanak, terdapat banyak permainan dari luar negara yang tidak mengikut garis panduan yang akhirnya memberi kesan buruk kepada pengguna.

Banyak kes sebelum ini yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak contohnya permainan pistol berpeluru yang terkena mata dan sebagainya.

“Bungkusan permainan dari luar juga ada yang tidak lengkap dengan tanda amaran,” katanya.

Sumber: SINAR HARIAN