BERITA
"Jika Sumbangan Kecil Saya Dapat Bantu & Mengubah Hidup Seseorang, Saya Akan ....." - Aliza Ali
Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali mengakui mempunyai alasan tersendiri dalam membantu orang ramai menerusi program Mikrofon Impian.
Menerusi entri di Instagram (IG), Aliza menjelaskan sumbangan yang diberikan itu adalah untuk menolong orang yang memerlukan.
"Ramai tanya kenapa buat Mikrofon Impian?”. Pada saya, jika sumbangan kecil saya dapat bantu dan mengubah hidup seseorang, saya akan buat apa yang boleh," tulisnya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata memuji tindakan yang dilakukan oleh Aliza dan berharap dia akan sentiasa dimurahkan rezeki untuk menolong lebih ramai insan yang memerlukan.
Program Mikrofon Impian diterajui Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali Pak Nil sebagai hos dan menampilkan tiga juri tetap iaitu Fauziah Latiff, Azmi Saat dan Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali yang akan mengadili para peserta.
Dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod dan mereka diminta menjelaskan situasi kewangan sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri.
Masyarakat yang prihatin boleh turut membantu dengan menyumbang secara ikhlas kepada peserta yang memerlukan sekiranya mereka gagal memenangi sebarang wang kemenangan menerusi platform MaybankHeart.
Mikrofon Impian dibawakan oleh Chatime Malaysia bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Must-Watch Video