HIBURAN

JKKN & KESUMA Segarkan Warisan Melayu Menerusi ‘Temasya Tari Melayu: Lama Dalam Baharu’

Amri Hassan 27/07/2025 | 08:02 MYT
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah menganjurkan siri ketiga Panggung Seni Tradisional 2025 (PST2025) dengan pementasan Temasya Tari Melayu: Lama Dalam Baharu oleh Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA).

Pementasan ini berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.

Sebagai pemegang amanah dalam pemerkayaan seni warisan negara, JKKN tampil dengan pendekatan segar untuk mengangkat keindahan tarian klasik dan rakyat Melayu agar terus relevan dan dihargai. Persembahan kali ini menggabungkan unsur tradisional dan moden, mempersembahkan karya berasaskan kajian yang tetap mengekalkan keaslian dan nilai estetika tarian Melayu.


Gabungan Tradisi & Kreativiti Baharu

Temasya Tari Melayu: Lama Dalam Baharu adalah inisiatif Jabatan Tari, Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya yang menampilkan karya tarian Melayu berasaskan tradisi, diolah dengan variasi moden oleh generasi baharu. Pendekatan ini bukan sahaja menonjolkan kreativiti pelapis seni, tetapi turut menyampaikan warisan budaya secara lebih segar dan berimpak.

Barisan koreografer berpengalaman seperti Dr. Chandrabhanu Zamin Haroon, Mohd Hairil Anuar Bari, Dr. Mohammad Khairi Mokhtar dan Dr. Norsafini Jafar telah berganding tenaga dalam menghasilkan persembahan ini. Mereka turut dibantu oleh penolong koreografer Nad Sukarno, Nadia Haziran Nazren dan Ahmad Zulfaridzmi Zainuddin.

Lebih 120 individu terlibat dalam produksi ini, termasuk pelajar dan alumni Universiti Malaya serta ASWARA, manakala pemuzik pula terdiri daripada Kumpulan Terinai Seni Budaya Perlis, Kombo Universiti Malaya dan Anggun Gamelan Ensemble.

Dua Segmen Penuh Makna: Tari Klasik & Tari Rakyat

Persembahan ini dibahagikan kepada dua segmen utama. Segmen pertama, Tari Klasik Melayu, menampilkan enam tarian utama seperti Terinai Lama, Terinai Petani Che' Nah - Angin Timur, Terinai Sri Indera, Joget Gamelan Timang Inu, Joget Gamelan Perang Manggung dan Joget Gamelan Ketawang – semuanya berdasarkan rujukan akademik dan manuskrip tradisional termasuk daripada Tengku Ampuan Mariam.

Segmen kedua pula mengetengahkan Tari Rakyat Melayu yang menampilkan 10 repertoir tarian rakyat popular yang pernah dicipta oleh Kompleks Budaya Negara (KBN) sekitar 1970-an, seperti Asli Makan Sireh, Songket Tanjung Puteri, Zapin Malaysia, Yaladan, Cinta Sayang, Canggung, Jong-Jong Inai, Inang Kayangan, Joget Selendang (Joget Anak Derhaka) dan Wau Bulan.



“Penonton ditawarkan pengalaman apresiasi baharu terhadap sejarah dan nilai artistik melalui gabungan elemen klasik, autentik dan naratif bermakna,” kata Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKKN, Jasmi Rasit.

Platform Ilmu & Pemerkasaan Komuniti Seni

Program ini bukan hanya bersifat persembahan, tetapi juga menjadi platform pemindahan ilmu, perkongsian nilai budaya serta pengukuhan jaringan antara penggiat seni, penyelidik, pelajar dan masyarakat. Setiap karya membawa naratif dan simbol budaya yang signifikan, dihidupkan melalui koreografi teliti dan pendekatan inovatif.

PST2025 turut berfungsi sebagai platform pemerkasaan kumpulan seni budaya untuk memahami dan menguasai aspek pelaksanaan produksi seni. Ini seiring dengan Teras Strategik JKKN yang menekankan peningkatan akses kepada perkhidmatan seni dan budaya demi kesejahteraan komuniti.



Menelusuri sejarah penganjuran sejak 2013, PST2025 akan menampilkan dua lagi persembahan istimewa:

📅 6 & 7 September 2025
Parampara – Tarian Klasik India

📅 26 & 27 September 2025
Kembara Putera – Teater Jikey Langkawi
#JKKN #Gamelan #Universiti Malaya #Wau Bulan #Tarian #UM #Joget #Inang #Terinai #Zapin #Kesuma #Canggung