Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

JKR Minta Maaf Pada Semua Lapisan Masyarakat, Bukan KJ Seorang, Minta Isu Tidak Disensasikan

Maliah Surip 29/12/2020 | 08:40 MYT
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith meminta agar semua pihak tidak mensensasikan isu permohonan maaf yang dibuat pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Hulu Langat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang dilaporkan cedera selepas terjatuh daripada basikal akibat terlanggar lubang jalan di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.
Eddin Syazlee juga mengatakan secara peribadi, beliau berpendapat permohonan maaf yang dilakukan tidak perlu dibuat secara terbuka
"Saya secara peribadi berpendapat permohonan maaf itu tidak perlu dibuat secara terbuka sebaliknya hanya ditujukan secara peribadi kepada Khairy sendiri, itu lebih baik.
"Soalnya bukan kepada menteri saja, kepada orang lain juga kita minta maaf," kata Eddin Syazlee kepada Harian Metro.
Memetik laporan sama, beliau juga meminta agar isu tersebut tidak disensasikan kerana menurutnya permohonan maaf tidak hanya dibuat kepada menteri atau individu terpilih, namun turut membabitkan rakyat jelata.
"Tidak ada isu permohonan maaf kepada Khairy (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin) kerana kita juga ada buat permohonan maaf dalam kes lain sebelum ini. Saya harap ia tidak disensasikan lagi.
"Kalau ikutkan, jalan berlubang ini ada di mana-mana dan saya perlu meminta maaf setiap hari kerana perkara ini. Tetapi kita tumpu untuk pembaikan demi kebaikan bersama," kata Eddin Syazlee lagi.
Isu berkenaan tidak perlu disensasikan kerana tumpuan Jabatan Kerja Raya (JKR) ialah bagaimana menyelesaikan aduan diterima untuk keselesaan rakyat.
Beliau berkata, kementeriannya memerlukan lebih daripada RM1 bilion untuk membaiki jalan berlubang di seluruh negara setiap tahun dan peruntukan sedia ada tidak mencukupi.
Menurutnya, JKR sudah membuat kajian bagi memastikan jalan berlubang dibaiki dengan kadar segera demi keselamatan pengguna jalan raya.
"Kita ada aplikasi terima aduan dan memastikan tiada lagi jalan berlubang, tetapi untuk memastikannya ia selesai dalam kadar segera, tak bolehlah. Ia mengambil masa," jelasnya lagi.
Pada Ahad lalu, Khairy atau KJ mendedahkan dirinya cedera selepas terjatuh daripada basikal akibat terlanggar lubang jalan.
Kejadian berlaku di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor ketika Ahli Parlimen Rembau itu sedang menunggang basikal di kawasan itu.
Susulan itu, JKR Hulu Langat mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada Khairy yang mendapat kecaman netizen yang menyifatkan ia sebagai layanan berat sebelah.
Sementara itu, KJ semalam melalui satu hantaran Transformasi Bersama KJ di Facebook pada Isnin mengatakan apa yang didedahkan hanya untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya yang lain.
Beliau juga berharap JKR tidak hanya peka kerana dirinya menteri, tetapi perlu prihatin secara menyeluruh.
“Saya berterima kasih kepada JKR kerana peka dengan isu ini, tetapi janganlah hanya disebabkan saya menteri, baru nak ambil berat.
“Tetapi yang penting, kalau sudah berlubang, janganlah berhari-hari atau kena tunggu terlalu lama untuk turap semula,” katanya.
Kredit Foto Instagram & Twitter @khairykj
#Netizen #KJ #Kecam #Basikal #Jalan Berlubang #JKR
;