Genre seram sentiasa mempunyai ramai peminat termasuk filem terbaru, Jodoh Syaitan yang menjadi filem tempatan yang ditunggu-tunggu.

Produser, Mokharul Shamsul Mokhtar atau Asey berkata, meskipun pasaran filem di negara ini tidak menentu, ia bukan halangan untuk produksi DA Motion Media menerbitkan sebuah filem seram terbaru.

Menampilkan gandingan pelakon berpengalaman seperti Soffi Jikan, Abam Bocey, Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi dan Jay Izwazir, filem ini turut membawa kisah seram yang berbeza daripada apa yang pernah dipertontonkan sebelum ini.



Filem arahan Ismail Bob Hashim (Bob) ini membawa kisah seorang pemuda kampung iaitu Megat yang sering berdepan kegagalan dalam percintaan.

Dia kemudian diminta ibunya untuk pulang ke kampung dan berkahwin dengan seorang gadis bernama Mawar.



Bagaimanapun, penceritaan filem ini lebih mencabar apabila watak Tok Chai bersama dua pengikut setianya yang juga rakan Megat mahu mencari mayat untuk dipaku dengan harapan ia hidup semula untuk dijadikan isteri ketuanya itu.

Asey menyatakan dia percaya pada bakat pengarahan Bob yang mampu menterjemahkan elemen seram filem ini menjadi sebuah naskhah yang menarik untuk ditonton kelak.



Buat masa ini, penggambaran filem ini masih dijalankan sejak 18 Julai lalu di lokasi sekitar Pasir Puteh, Kelantan dan Jertih, Terengganu.

Teks oleh: Elrafaei Sapi