Selepas tidak lagi menjadi tuan rumah bagi pusingan Formula Satu (F1) bermula tahun lepas, Litar Antarabangsa Sepang bakal dimeriahkan dengan perlumbaan kereta empat roda Festival GT Asia pada 15 hingga 17 Mac depan.

GT Asia merupakan satu perlumbaan kesinambungan daripada Kejuaraan GT China yang memutuskan untuk memasuki peringkat saingan antarabangsa dan setakat ini, perlumbaan di Sepang merupakan satu-satunya pusingan yang berlangsung di luar China.

Untuk turut menyemarakkan lagi Festival GT Asia yang terlaksana dari kerjasama antara Country Heights dan Goldenport Enterprise dari China, Celebrity Bazaar juga bakal diadakan untuk memeriahkan acara.

Selebriti seperti Joe Flizzow, Linora Low, Elly Raja Lawak, KTown Clan dan 47 lagi personaliti lain bakal memeriahkan Celebrity Bazaar ini.

"Selain perlumbaan sukan permotoran empat roda yang bakal berlangsung selama tiga hari, banyak lagi aktiviti lain yang bakal berlangsung.

"Ini termasuklah persembahan daripada jenama automotif dan juga kelab kereta, food truck, 'simulator' perlumbaan dan Celebrity Bazaar," kata Matahari Lee selaku Pengarah Eksekutif Country Heights.

Dalam pada itu, mini konsert juga bakal diadakan pada 17 Mac nanti.

"Joe Flizzow dan tujuh lagi rakan-rakannya bakal mengadakan persembahan 16 Baris bermula 6.30 petang.

"Festival GT Asia ini bukan saja untuk mereka yang meminati aksi perlumbaan, tetapi ia juga sesuai untuk dijadikan aktiviti buat seluruh ahli keluarga," kata Sarah Nattaya, pengasas dan Presiden MBits Digital.

Untuk anda yang berminat, jangan lupa untuk menghabiskan masa anda di Litar Antarabangsa Sepang pada 15 sehingga 17 Mac ini untuk menyaksikan sendiri kehebatan dan keseronokan Festival GT Asia dan Celebrity Bazaar!