Laman Utama
Joe Flizzow Sedekah 50 Pasang Kasut Setiap Tahun Kepada Kenalan, Rumah Anak Yatim
Penyanyi rap popular, Joe Flizzow mendedahkan yang dia kini memiliki lebih kurang 300 pasang kasut dalam koleksi simpanannya.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Johan Ishak itu berkata, dia tidak menyimpan kasut-kasut yang dimilikinya untuk tempoh yang lama.
Ujarnya, apabila usia kasut simpanannya mencecah sekitar setahun, dia akan memberi kasut-kasut berkenaan secara percuma kepada orang lain.
“Ketika saya kecil, jumlah kasut dalam simpanan lagi banyak. Kalau pergi ke luar negara, saya akan bawa balik berpasang-pasang kasut. Tapi sekarang secara jujurnya, koleksi saya kecil sahaja, iaitu sekitar 300 pasang.
“Begitupun, saya akan beri kasut-kasut saya itu kepada orang lain. Selepas setahun, saya akan memilih sekitar 50 pasang kasut dan berikan kepada tukang gunting rambut di kedai gunting rambut saya.
“Selain itu saya juga akan memberikan kasut-kasut tersebut kepada rumah anak-anak yatim,” katanya ketika ditemui pada pelancaran kapsul Giuseppe Zanotti x Joe Flizzow & SonaOne di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ditanya adakah sukar untuk menjaga beratus pasang kasut dalam simpanannya, Joe menjawab: “Agak sukar untuk menjaga kasut, terutama apabila kita sudah memakainya.
“Apabila sudah pakai, kasut akan mula merekah dan kuning. Jadi baik saya bagi kepada orang,” katanya.
Dalam pada itu, Joe turut memberitahu yang dia tidak pernah menjual sebarang kasut yang dimilikinya.
“Oh saya tidak pernah jual kembali kasut-kasut saya sebab saya pernah berada dalam keadaan yang susah. Jadi, saya tahu bagaimana rasanya ingin memiliki kasut tetapi tidak mampu untuk mengeluarkan bajet,” katanya.
Joe turut memberitahu yang dia menyimpan kesemua kasut-kasutnya dalam sebuah bilik. Setakat ini, masih ada 100 pasang kasut yang belum dipakai oleh Joe.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!
Must-Watch Video