Syarikat rakaman hip hop tersohor Malaysia, Kartel Records bersama Universal Music Sdn Bhd telah bergabung secara rasmi untuk membentuk entiti baru iaitu Def Jam Malaysia dan Def Jam Singapore.

Mengetengahkan artis ternama seperti Joe Flizzow, gabungan ini menandakan satu era baru untuk genre hip hop bukan sahaja di Malaysia dan Singapura sebaliknya seluruh rantau Asia.

Menurut Joe, dia berasa bangga melihat muzik hip hop sudah semakin diterima masyarakat sehingga ke peringkat ini selepas mengharungi pelbagai cabaran.

“Selama 20 tahun, pelbagai cabaran serta rintangan terpaksa diharungi demi mewujudkan industri hip hop Asean.

“Def Jam Asia Tenggara melambangkan bab seterusnya dalam kerjaya saya dan saya sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada jenama ini yang telah banyak menyumbang dan membantu pembentukan budaya hip hop.

“Sudah tiba masanya untuk hip hop Asia Tenggara didengari di seluruh dunia. Inilah waktu untuk mencipta sejarah,” katanya.

Selain Joe, Def Jam kini mempunyai barisan bakat seperti SonaOne, Alif, AbubakarXLI, Caprice & Badboii, Fariz Jabba dan Yung Raja.

Terdahulu, Def Jam Recordings bermula sebagai label indie yang pernah mewakili nama-nama besar dunia muzik selama 35 tahun seperti LL Cool J, Slick Rick, The Beastie Boys dan Public Enemy.

Def Jam kemudiannya memperkukuhkan kedudukan dengan bintang terkenal seperti Jay-Z, DMX, Ja Rule, Method Man & Redman, Ludacris, Rihanna, Jeezy, dan Kanye West.