"Joe Flizzow & Sonaone Hanya Kurang 2 Markah Dengan Aina Abdul"- Sengit! Juri Tak Ragu-Ragu Angkat 'Terus Hidup' Juara AJL37
Syafiqah Jalal
13/02/2023 04:41 MYT
13/02/2023 04:41 MYT
Ketua Juri Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), Datuk Mokhzani Ismail dedah lagu Satu Malam Di Temasek hanya tewas dua markah dari lagu Terus Hidup yang menjadi juara malam tadi.
Mokhzani memberitahu masing-masing mempunyai kekuatan dalam karya yang dipersembahkan, malah beliau tidak ragu-ragu mengangkat lagu ciltaan dan nyanyian Aina Abdul sebagai juara.
"Dua lagu ini sangat sengit iaitu hanya beza 2 markah sahaja kerana dari sudut melodi, lagu dan kreativiti penyampaian mereka serta liriknya satu naskah yang sangat kuat.
"Namun saya tak ragu-ragu angkat Aina Abdul kerana boleh lihat dari persembahannya malam ini dia memberikan persembahan luar biasa berbeza dari dalam albumnya. Ia bawa dengan sangat bersahaja," katanya.
Mokhzani berkata demikian dalam satu sidang media selepas AJL37 berakhir malam Ahad.
Pun begitu, Mokhazani tidak dapat menafikan kehebatan karya Joe Flizzow dan Sonaone dalam Satu Malam Di Temasek yang cukup luar biasa.
"Saya tidak menidakkan kehebatan lagu Satu Malam Di Temasek yang bersifat luar biasa dan saya amat mengagumi karya mereka sehingga boleh mengeluarkan idea sebegitu rupa.
"Lagu yang menceritakan tentang kehidupan dan kematian itu telah dipersembahkan dengan sangat hebat malam ini," jelasnya lagi.
Sementara itu, Mokhzani akui kelainan lagu Anugerah dari Alif Satar & The Locos juga berjaya menempatkan mereka di tangga ketiga.
"Tempat ketiga juga tidak kurang hebatnya genre pop balada yang dibawakan ada kelainan yang luar biasa untuk diangkat ke tempat ketiga," ulasnya.
AJL37 menyaksikan Aina Abdul sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai RM100,000, serta meraih RM12,000 apabila berjaya menggondol trofi Vokal Terbaik.
Selain Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri AJL37 turut menampilkan juri-juri Acis, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman, LY dan Damian.
Berlangsung dengan kehadiran lebih 8,000 orang penonton AJL37 dihoskan Jihan Muse dan Sherry Alhadad.