HIBURAN
Joey Daud Sebak Kenang Mamat Khalid - “Kalau Dia Masih Ada, Saya Tiada…”
Pelakon Joey Daud tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya apabila mengenang pemergian sutradara tersohor, Allahyarham Mamat Khalid.
Menurut Joey, jika pengarah yang terkenal dengan filem Hantu Kak Limah itu masih ada, dia pasti akan berada di sisinya ketika ini seperti kebiasaannya setiap kali bulan Ramadan.
“Bila awak sebut mengenai arwah Mamat Khalid ini saya tersentuh sedikit, sebab kalau dia masih ada saya tiada disini, pasti sekarang saya dah ada di sebelah dia kami akan menjalani pengambaran setiap bulan puasa itulah amalan arwah untuk berkongsi rezeki dengan kami semua.
“Yang terakhir ada 19 Puasa, kalau dia ada mungkin masih lagi ada sambungan. Tapi saya tidak rasa 19 Puasa berhenti disitu kerana dia masih ada legasi yang boleh meneruskan karyanya, jadi kita tunggu sahaja air tanggan dia,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi kenangan manis bersama Allahyarham, Joey mengakui bahawa momen paling dirindui adalah saat mereka berbual bersama mengenai industri seni dan kehidupan.
Joey atau Zulkifli Daud juga mengakui bahawa Mamat Khalid sentiasa menjadi tempat rujukannya dalam bidang seni.
“Momen yang paling saya rindu adalah apabila dapat duduk bersama dia sebab kami sering berborak soal industri dan juga tentang diri, jiwa. Sebab apa saya selalu tanya pasal tu kerana untuk saya lebih memahami sesuatu watak , kenali diri InsyaAllah mudah itulah yang hebat soal Mamat Khalid sebab dia tidak pernah kedekut ilmu.
“Dan dia sentiasa menjadi saya punya rujukan sebab otak dia boleh jadi batu cincin sebab dia memang sangat bagus dari semua aspek tapi itu kini semua hanya tinggal kenangan yang paling indah dalam hidup,” tambahnya.
Terdahulu, pengarah tersohor, Mamat Khalid, telah menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober 2021.
Mengesahkan berita pemergiannya, isterinya, Hasmah Hassan memaklumkan, arwah dipercayai mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri ketika berada di Sarang Art Hub.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Masjid Paloh, Ipoh, Perak.
Pemergian allahyarham meninggalkan isteri, Hasmah Hassan bersama lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.
Must-Watch Video