Hiburan
Johara Keluar Konti Demi Pendengar
Demi mahu mendekatkan diri dengan pendengar setia radio Era FM, penyampai Johara Pagi Era iaitu Johan, Hanif dan Ray telah keluar konti dan bersiaran dari luar.
Johan Raja Lawak berkata menerusi pertandingan Juara Johara yang mereka lakukan di beberapa lokasi luar bandar, pendengar dapat beramah mesra dengan mereka secara rapat.
"Aktiviti siaran luar sambil mengadakan pertandingan Juara Johara bersama pendengar ini merupakan salah satu aktiviti yang menyeronokkan.
"Sebelum ini, pendengar hanya dengar suara kami di radio sahaja tapi kali ini kami keluar konti dan bersiaran bersama mereka sambil melakukan aktiviti yang menarik.
"Secara tidak langsung pendengar dapat mengenali kami lebih dekat dan berpeluang bergambar dan beramah mesra.
"Seronok bila lihat interaksi mereka apabila kami berada di hadapan mereka berbanding jika kami bersiaran di dalam konti sahaja," katanya kepada Astro Gempak.
Johara ditemui selepas mengadakan pertandingan Juara Johara sekaligus bersiaran langsung di lokasi kedua yang berlangsung di stesen minyak Petronas, Bukit Nanding, Hulu Langat, pagi tadi.
Di lokasi tersebut mereka telah mengadakan tiga pertandingan serta cabaran lucu iaitu memasukan benang di dalam jarum terbanyak, memasukkan biskut dari dahi ke mulut tanpa menggunakan tangan serta melastik tin kosong terbanyak.
Selain Johara, dua penyanyi Wani Kayrie dan Syuhada turut serta memeriahkan lagi acara mereka.
Selepas ini Juara Johara akan ke lokasi ketiga yang bakal diadakan di Dewan Terbuka SekolahKebangsaan Sijangkang, Telok Panglima Garang pada 8 April bersama artis jemputan, Hez Hazmi dan Eleena Haris.
Sementara, Juara Johara peringkat akhir akan diadakan di Village Mall Sungai Petani Kedah, jam 2 hingga 6 petang pada 15 Mac.
Untuk maklumat lanjut mengenai Juara JoHaRa, sila layarai laman web ERA fm, www.era.fm atau ikuti perkembangan pertandingan ini di laman sosial ERA fm (Twitter, Facebook dan Instagram).
Teks oleh Syafiqah Jalal