Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Johnny Depp Kalah Saman Akhbar; Laporan 'Kaki Pukul Isteri' Benar

Maliah Surip
03/11/2020 00:15 MYT
Aktor Johnny Depp dilaporkan kalah dalam tuntutan saman terhadap akhbar The Sun yang didakwa memfitnahnya dalam salah satu artikel yang dikeluarkan berhubung kekerasan yang dibuat terhadap mantan isterinya, Amber Heard.

Keputusan itu dibuat Hakim Andrew Nicol dari Mahkamah Tinggi UK selepas kes diperdengarkan sejak awal tahun ini.

Depp memfailkan saman dengan menamakan eksekutif editor The Sun, Dan Wootton dan akhbar itu yang melabelnya sebagai kaki pukul dalam sebuah artikel.

Bintang Pirates Of The Caribbean itu didakwa melakukan kekerasan terhadap Heard termasuk memukul sepanjang mereka berkahwin sehingga membuat aktres tersebut cedera dan trauma.

Nicol kemudian memutuskan apa yang dilaporkan akhbar tersebut adalah benar dan dengan bukti yang cukup membolehkan beliau membantah dakwaan dan saman yang dibuat Depp.

"Saya mencapai konklusi dengan bukti dan 14 insiden yang dibawa kepada kami dan keputusan ini pun dibuat," putus Nicol seperti dilaporkan oleh CNN, semalam.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, Depp antaranya mengaku mempunyai masalah kecanduan dadah dan alkohol, namun membantah dirinya sebagai seorang kaki pukul seperti yang didakwa akhbar tersebut.

Heard dalam satu perakuan bertulis mengatakan Depp mengancam untuk membunuhnya.

"Dalam kebanyakan insiden, saya terlalu takut dia akan membunuh saya. Dia selalu kehilangan kawalan diri dan banyak kali mengugut untuk membunuh saya," tulisnya.

Sementara itu,The Sun dalam pembelaannya mengatakan telah lebih 20 tahun menyokong kempen menghentikan kekerasan domistik yang berlaku dan mangsa tidak harus berdiam diri.

Kredit Foto: Getty Images