Jojo Intai Kebangkitan
Selepas berdepan dua kekalahan berturut-turut, atlet Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar berazam untuk bangkit semula apabila turun beraksi menentang lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari dalam aksi ONE Fight Night di Stadium Lumpinee, Bangkok pada 5 September ini.
Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo itu yang mewakili Rentap Muaythai Gym dan Superbon Training Camp bakal mempertaruhkan segalanya dalam pertarungan tiga pusingan kategori flyweight Muay Thai tersebut.
Meskipun tewas kepada Johan "Panda Kick" Estupinan dan Diego Paez sebelum ini, dia enggan menjadikan kegagalan itu sebagai penghalang, sebaliknya melihat ia sebagai motivasi untuk tampil lebih kuat dan matang di pentas berprestij.
“Secara jujurnya, peluang ini sangat bermakna buat saya. Selepas kekalahan terakhir, saya memang tak sabar untuk kembali bertarung. Kali ini saya turun beraksi dengan semangat baharu. Saya masih Jojo yang sama, tapi versi saya yang kali ini jauh lebih baik,” katanya kepada OneFC.com.
Jojo yang terkenal dengan gaya agresif dan tumbukan turut mengakui beliau kini tampil dengan pendekatan lebih teknikal dan tersusun, hasil latihan intensif yang dijalani sejak beberapa bulan lalu.
Setakat ini, Jojo mencatatkan enam kemenangan dalam ONE Championship, termasuk lima daripadanya menerusi kemenangan knockout (KO).
“Dia ada sedikit kemahiran dalam tinju, itu saja. Tak ada yang mengagumkan. Saya yakin saya berada satu tahap di atas dia dalam semua aspek pertarungan.
“Saya tak sabar nak tunjuk peningkatan saya kali ini. Sudah tiba masanya untuk buktikan bahawa saya lebih daripada sekadar seorang penyerang yang suka mara ke hadapan dan membelasah lawan,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian