Datuk Seri Siti Nurhaliza dinobatkan pemenang anugerah JOOX Malaysia Top Music Awards 2020 selepas meraih undian tertinggi peminat.

Siti telah menerima enam anugerah iaitu Artis Lokal Paling Popular, Top 5 Artis Lokal (Hujung Tahun 2020) dan Top 5 Artis Lokal Tahun 2020 serta Lagu Lokal Paling Popular, Top Hit Lokal (Hujung Tahun 2020) dan Top 5 Hit Lokal Tahun 2020 menerusi lagu Aku Bidadari Syurgamu.

Kemenangan Siti ditentukan menerusi jumlah penstriman terbanyak pada penghujung tahun lalu dan jumlah (sepanjang tahun) tersebut dikumpul dan digabungkan dengan undian peminat yang dijalankan.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Joox kerana selalu memberi sokongan dan mempromosikan lagu-lagu saya selama ini.

“Menerusi Joox, lagu-lagu saya dapat didengari dan distrim oleh peminat muzik dan juga peminat-peminat saya sendiri.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh peminat saya yang telah mengundi saya di Joox Top Music dan berjaya memenangi enam anugerah pada tahun 2020.

Bagi saya, ini kejayaan yang sangat manis buat saya sepanjang 2020, pada usia penglibatan saya hampir 25 tahun di dalam industri muzik, saya sangat berterima kasih kepada semua yang mengiringi perjalanan seni saya selama ini.

“Terima kasih kepada peminat saya yang telah mengundi dan terima kasih Joox di atas usaha penganjuran anugerah ini,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Amerika Syarikat, Justin Bieber pula meraih undian tertinggi untuk kategori lagu Barat dan kumpulan fenomena BTS dari Korea Selatan pula terus berada di kedudukan teratas untuk kategori K-Pop.

Bieber merangkul lima anugerah iaitu Top 5 Artist Antarabangsa (Hujung Tahun 2020) dan Top 5 Artis Antarabangsa Tahun 2020. Sementara lagu nyanyiannya berjudul Lonely menampilkan Benny Blanco pula menerima anugerah Top 5 Hit Antarabangsa Tahun 2020.

Selain itu, lagunya Stuck with U duet bersama Ariana Grande dan lagu Yummy juga berjaya membawa pulang anugerah Top 5 Hit Antarabangsa Tahun 2020.

BTS pula berjaya membawa pulang lima anugerah. Lagu mereka Life Goes On mendapat anugerah Lagu K-Pop Paling Popular hasil undian pengguna di Malaysia.

Lagu hit, Dynamite pula dinobatkan sebagai Top 5 Hit K-Pop (Hujung Tahun 2020) dan Top 5 Hit K-Pop Tahun 2020, lagu ON untuk Top 5 Hits K-Pop Tahun 2020 sementara, lagu Who bersama Lauv juga memenangi Top 5 Hit Antarabangsa Tahun 2020.