Seramai lapan orang termasuk ketua sindiket menjual organ buah pinggang ditangkap pihak berkuasa Pakistan baru-baru ini.

Fawad Mukhtar yang merupakan ketua sindiket dipercayai telah menjual lebih 300 buah pinggang untuk tujuan pemindahan kebanyakannya kepada golongan kaya.

Mukhtar malah telah ditangkap sebanyak lima kali dalam pelbagai serbuan sebelum ini namun berjaya lolos kerana diikat jamin, lapor CNN.

Menerusi laporan sama, sekurangnya tiga nyawa tidak dapat diselamatkan sewaktu operasi mengeluarkan buah pinggang.

Sindiket tersebut dipercayai beroperasi dengan aktif di Timur Pakistan termasuk Kashmir.

Proses pembedahan pula dilakukan di sebuah kediaman persendirian tanpa pengetahuan ‘penderma’. Ia dijalankan oleh Mukhtar sendiri dengan bantuan seorang makenik yang menjadi ‘pembantu doktor’.

Buah pinggang yang diperoleh kemudian dijual dengan nilai mencecah RM566 ribu setiap satu.

“Kami percaya masih banyak lagi pemindahan organ selain buah pinggang yang dijalankan secara haram. Ini (penjualan buah pinggang) hanya sebahagian daripadanya,” ujar Ketua Menteri Punjab, Mohsin Naqvi.

Pemerdagangan manusia atau pemindahan organ diharamkan di Pakistan sejak 2010.