Laman Utama
Jual Kotak TV & Kandungan Tanpa Kebenaran Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang!
Untuk keputusan julung kali yang dibuat pada hari ini, Mahkamah Tinggi Harta Intelek di Kuala Lumpur memaktubkan bahawa sebarang penjualan, tawaran untuk menjual, pengedaran dan / atau membekalkan Kotak TV media atau peralatan perisian penstriman haram (“ISD”) yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta, merupakan pelanggaran hak cipta di bawah Akta Hakcipta 1987.
Tindakan yang diambil di Mahkamah Tinggi Harta Intelek tersebut dibawa oleh Measat Broadcast Networks Sdn. Bhd., penyedia perkhidmatan untuk Astro, terhadap penjual ISD yang menyediakan aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah atau di laman kandungan penstriman haram.
Pendakwaan penuh bersejarah itu merupakan tindakan pertama yang diambil oleh Mahkamah Tinggi Harta Intelek, dan diterima baik dan begitu dialu-alukan oleh pihak berwajib dan pemain industri dalam usaha mereka memerangi cetak rompak digital. Penggiat industri termasuklah Astro memuji tindakan yang diambil Mahkamah Tinggi dengan menyatakan bahawa ini merupakan satu langkah berani yang diambil dan kita berada di landasan yang betul dalam membendung jenayah cetak rompak di Malaysia.
Laila Saat, Pengarah Kawal-Selia Astro berkata, “Keputusan yang dimaktubkan oleh pihak Mahkamah Tinggi bahawa penjualan ISD yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta adalah setimpal dengan kesalahan pelanggaran hakcipta, secara tidak langsung menjadi penanda aras kepada mana-mana tindakan sivil yang ingin di ambil ke atas mana-mana penjual ISD haram di pasaran masa hadapan, termasuklah mereka yang berada di platform e-dagang.
"Pengisytiharan julung kalinya ini akan mengukuhkan lagi perlindungan harta intelek dalam negara ini dan usaha berterusan setiap pihak dalam membendung jenayah cetak rompak adalah penting bagi memastikan pelaburan jangka masa panjang dan kewujudan peluang pekerjaan dalam industri media dan hiburan tanah air akan terus berlangsung. Kami akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berwajib dan rakan-rakan penyedia kandungan dalam menyampaikan mesej yang tegas bahawa cetak rompak adalah mencuri, haram dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.”
Zulkarnain Mohd Yasin, Ketua Pegawai Kawal-Selia, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, “SKMM mengalu-alukan keputusan yang dibuat mahkamah, yang mana ia mampu memperkukuhkan lagi aspek perundangan dalam melindungi mana-mana kes pelanggaran hakcipta dan membantu memerangi cetak rompak, terutamanya di segmen digital dan rangkaian atas talian.”
Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkata, “Mengambil maklum akan perlunya tindakan yang lebih proaktif dalam mengekang isu cetak rompak digital di negara ini, FINAS dengan ini menzahirkan sepenuh sokongan akan tindakan undang-undang yang diambil Astro ke atas penjual ISD dan mana-mana aktiviti cetak rompak digital kerana perbuatan haram ini telah menyebabkan kerugian pendapatan yang amat besar ke atas industri kreatif tempatan saban tahun.
"Dalam memacu pendekatan lebih holistik dan melaksankan strategi yang lebih efektif dalam memerangi cetak rompak digital, FINAS telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak, dengan sokongan tanpa berbelah bahagi dan penglibatan secara langsung banyak pihak terutamanya agensi penguatkuasaan undang-undang untuk terus memperkasakan dan memantapkan penguatkuasaan, peraturan dan syarat-syarat lesen pengedaran selaras dengan peruntukan di bawah Akta FINAS 244 1981.”
Zulkarnain Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah Intellectual Property Corporation of
Malaysia (MyIPO) berkata, “MyIPO sentiasa mengalu-alukan mana-mana kes yang melibatkan peralatan perisian penstriman haram dibawa ke mahkamah Malaysia.
"Penggunaan yang kerap dan meluas ISD menyebabkan kerugian yang sangat besar kepada ekonomi berbanding dari cetak rompak hakcipta secara fizikal. Peranti ini merupakan sebahagian daripada rangkaian cetak rompak hakcipta dalam talian yang lebih luas, yang dalam jangka masa panjang akan membantutkan semangat para pencipta kandungan asal untuk melahirkan lebih banyak karyakarya kreatif.
"Perbuatan cetak rompak hakcipta dalam apa jua bentuk pun perlu dibendung dan dihalang semua pihak.”
Louis Boswell, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Video Industry Association (AVIA) berkata, “Keputusan yang dibuat pada hari ini merupakan tindakan terbaik yang diambil dan kami mengalu-alukannya sepenuh hati. Karya-karya dan kandungan yang dihasilkan bukanlah percuma, dan para pencipta dan pengedar mempunyai hak sepenuhnya untuk mengenakan bayaran ke atasnya.
"Untuk menidakkan hal ini dan mengambilnya dianggap sebagai mencuri, dan saya nampak perbezaan yang sangat sedikit di antara pencuri barang-barang fizikal dengan mereka yang mencuri menerusi aktiviti penstriman video. Sebagai sebahagian dari masyarakat, kita semua perlu akui yang aktiviti mencuri tetap menjadi kesalahan dan tindakan yang diambil hari ini menunjukkan bahawa kita memandang serius akan perkara ini dan berada di landasan yang betul.”
Kevin Plumb, Pengarah Khidmat Perundangan Liga Premier berkata, “Tindakan yang diambil hari ini amat penting dan merupakan deklarasi alu-aluan oleh Mahkamah Tinggi Harta Intelek, yang mana ia memberi satu mesej yang cukup kuat bahawa penjualan ISD yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta adalah salah dan ia kini termaktub dalam pelanggaran hakcipta.
"Kami di Liga Premier sentiasa komited dalam mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat menyediakan akses haram kepada kandungan Liga Premier. Pada masa yang sama, kami juga sentiasa meningkatkan kesedaran akan risiko yang akan dihadapi peminat jika menonton kandungan kami dari sumber-sumber yang tidak memilik kebenaran yang sah. Kami akan terus bekerjasama dengan Astro dan pihak berwajib tempatan sebagai usaha untuk turut sama menjayakan program-program anti-cetak rompak di Malaysia.”
Kerugian tahunan yang disebabkan kegiatan cetak rompak digital ini dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada industri media dan hiburan tanah air. Ia juga melibatkan kehilangan sejumlah RM500 juta cukai pendapatan dan mengakibatkan beribu-ribu individu kehilangan pekerjaan.
Keputusan yang dibuat pihak Mahkamah Tinggi Hari ini merupakan susulan dari kes-kes aktiviti jenayah yang dikenakan ke atas penjual ISD sebelum ini. Pada 8 Februari lalu, seorang Pengarah di sebuah syarikat IT didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi.
Pada 16 Februari pula, seorang Pengarah wanita yang memilik syarikat aksesori telefon megaku bersalah di atas pertuduhan memiliki beberapa unit Kotak TV Media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah. Tertuduh dedenda sebanyak RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menjadikan beliau sebagai pesalah pertama disabit kesalahan menjual peralatan perisian penstriman haram (ISD).
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekali lagi mengulangi bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengedar dan penjual yang menyalahguna alat peranti dan perisian untuk mengakses kepada kandungan yang dilindungi hakciptanya oleh pemilik hakcipta tersebut.
Orang awam diingatkan untuk memaklumkan kepada pihak Kementerian jika mengetahui mengenai sebarang aktiviti cetak rompak menerusi talian 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Pusat Kawalan Penguatkuasaan atau WhatsApp di 019-279 4317.
Must-Watch Video