Hiburan
Jual Produk Tidak Berdaftar Dengan KKM, Zarina Zainuddin Didenda RM17,500
Pelakon Zarina Zainuddin didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, atas enam pertuduhan memiliki dan menjual alat kosmetik tidak bernotifikasi, Januari lalu.
Zarina didakwa pagi ini atas enam pertuduhan kebanyakannya membabitkan kosmetik tidak berdaftar tanpa notifikasi.
Pendakwaan dilakukan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Sementara itu, Harian Metro melaporkan Zarina pernah didenda di mahkamah atas kesalahan menjual produk kosmetik tidak berdaftar lebih 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, Zarina masih menjual pelbagai produk kosmetik tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Perkara tersebut akhirnya memakan diri apabila Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) KKM bertindak menyerbu kediaman artis terbabit di Subang Jaya, Selangor, susulan aduan awam yang diterima.
Menurut sumber, serbuan itu adalah kali kedua selepas artis wanita itu pernah diambil tindakan sama pada 2008.
Katanya, rampasan dilakukan CPF KKM membabitkan pelbagai kosmetik atas jenama artis terbabit antaranya krim malam, krim siang dan sabun.
“Sebelum serbuan dilakukan, pegawai CPF KKM terlebih dahulu melakukan penyamaran dan membeli produk kosmetik itu bagi mendapatkan bukti.
“Hasil serbuan di kediaman artis itu, CPF KKM merampas lima kosmetik tidak bernotifikasi dengan anggaran nilai rampasan lebih RM15,000,” katanya.
Menurutnya, semua produk itu dihantar ke Bahagian Pengesahan Pendaftaran KKM untuk tindakan lanjut.
KKM turut memiliki senarai beberapa lagi artis tempatan yang didapati turut melakukan kesalahan sama.
Mei lalu, selebriti yang juga usahawan kosmetik terkemuka Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 34, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan KKM.
Sumber: Facebook Berita Harian Online, Harian Metro Online