Juang Hargai Frontliner, Belanja Tayangan Percuma Untuk 170 Barisan Hadapan
Shahrin Zulkifle
03/09/2022 12:00 MYT
03/09/2022 12:00 MYT
Sebagai tanda menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dalam mempertahankan negara, pihak produksi filem Juang dengan kerjasama DADI Cinema dan PAVILION, KL telah mengadakan majlis tayangan percuma buat frontliner menonton filem tersebut.
Berlangsung pada 30 Ogos lalu, seramai 170 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota Bomba, Polis, Pengawai Perubatan dan Kakitangan Hospital yang hadir menyaksikan tayangan filem Juang di DADI Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Menurut Penerbit Juang, Matt Lai meluahkan rasa bangga dengan kehadiran petugas barisan hadapan yang hadir pada malam tersebut yang dianggap sebagai satu tanda penghargaan buat filem itu.
“Terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini untuk menyaksikan filem Juang dan saya hargai itu, filem ini adalah tentang diri anda (barisan hadapan) dan saya sangat berbangga kerana berjaya menyiapkan cerita ini dengan jayanya.
“Juang menceritakan kepada penonton betapa besarnya pengorbanan petugas barisan hadapan dalam mempertahankan negara ketika badai covid-19 melanda negara, kami sebagai rakyat Malaysia berhutang budi kepada semua frontliner,” ujarnya usai tayangan pada malam tersebut.
Dalam pada itu, acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelakon filem Juang iaitu Izzue Islam, Jack Lim dan Sangeeta.
Sinopsis:
Juang mengisahkan suasana pandemik dan cuba mengangkat keadaan sebenar yang cukup payah dilalui seluruh rakyat Malaysia. Juang bakal menceritakan kisah perit getir para barisan hadapan termasuk polis, jururawat, doktor, tentera serta penghantar makanan dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin.
Saksikan Juang di pawagam seluruh negara bermula 8 September di pawagam seluruh Malayisa, para peJUANG menanti anda!