Selepas berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan bergelar juara program MasterChef Australia pada Julai lalu, Diana Chan, 29, akan kembali ke tanah air buat pertama kali untuk bertemu dengan peminatnya.

Diana bakal bertemu dengan peminatnya di South Court (Tingkat Bawah) Mid Valley Megamall, pada 7 Oktober ini.

Menerusi pertemuan eksklusif itu Diana akan berkongsi pengalaman manisnya sepanjang menyertai program MasterChef Australia musim ke sembilan itu dengan orang ramai.

Pada perjumpaan itu nanti, Diana yang kini bekerja sebagai akauntan dan menetap di Melbourne, Australia itu bersedia untuk menjawab semua soalan daripada peminat serta mengadakan demonstrasi masakan istimewanya.

Turut serta memeriahkan acara itu kelak adalah finalis Malaysia MasterChef Asia, Jasbir Kaur dan Marcus Low.

Menariknya mereka juga akan membuat demo masakan masing-masing.