Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Juarai Ratu Hijabista, Qila Mahu Ceburi Bidang Lakonan

Syafiqah Jalal
01/10/2020 01:31 MYT
Juara Ratu Hijabista, Qila mengakui mahu menggunakan platform yang ada untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

Menurut Qila atau nama sebenarnya, Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman, 21, meskipun masih belajar dalam jurusan komunikasi, namun itu bukan penghalang untuknya untuk mencapai impian.

“Saya masuk pertandingan ini pun kerana minat dengan bidang pengacaraan dan lakonan. Jadi dengan platform ini saya harap dapat kembangkan bakat yang ada.

“Sejak kecil lagi saya memang suka berangan dan bercakap depan cermin serta berlakon sendiri di rumah.

“Meskipun saya sedang menyambung pengajian, tapi saya percaya pada rezeki jika diberi peluang untuk menceburi bidang lakonan saya tidak akan menolak dan mahu mencubanya dan dalam masa yang sama tidak meninggalkan pelajaran,” katanya kepada Astro Gempak.

Qila ditemui selepas tamat Pentas Akhir Ratu Hijabista yang bersiaran langsung dari studio Visual Three, Seri Kembangan, malam tadi.

Anak kelahiran Kelantan itu kini merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dalam bidang penyiaran di UiTM Shah Alam.

Pentas akhir itu menyaksikan Tina menyandang gelaran naib juara sementara Fiffy dianugerahkan Ratu Inspirasi Safi Hijabista serta Mellya menerima anugerah Ratu Favourite.

Sementara itu, juri jemputan Michael Ang memberitahu dia melihat bakat lakonan ada dalam diri Qila.

“Sebagai juri saya melihat semua finalis mempunyai kelebihan masing-masing pada malam ini.

“Namun Qila dan Tina saya lihat mereka ada bakat dalam lakonan selepas melihat penyampaian Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) dan tugasan yang diberikan di pentas akhir ini,” katanya.

Program tersebut menampilkan gandingan Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim mengemudi musim pertama hingga akhir sebagai pengacara.

Ratu Hijabista merupakan pencarian personaliti wanita berhijab yang boleh dijadikan inspirasi dan contoh positif kepada wanita-wanita di luar sana.
#Michael Ang #Berlakon #Ratu Hijabista