Penyanyi terkenal Indonesia, Judika bakal mengadakan konsert solo di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada 19 dan 20 Oktober 2019 ini.

Bakal berlangsung pada Sabtu dan Ahad jam 8.30 malam, konsert ini adalah kolaborasi antara DFP dan Kelab Sukan Dan Rekreasi PETRONAS (KSRP).

Judika merupakan artis Indonesia kedua yang mengadakan konsert solo di dewan berprestij ini selepas Ruth Sahanaya yang mempersembahkan konsert solo pada tahun 2018.

Konsert ini bakal menyaksikan beliau memasuki senarai artis antarabangsa yang telah membuat persembahan di dewan yang terkenal dengan tahap akustika yang tinggi itu; mereka adalah Laura Fygi, Harry Connick Jr., Chris Botti, Diana Krall, Anoushka Shankar dan Larry Carlton, dan artis tempatan seperti Datuk Sheila Majid, Ella, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.

Diakui sebagai salah seorang vokalis lelaki terbaik Indonesia, Judika merupakan seorang penghibur yang kerap menjayakan konsert yang mendapat sambutan hangat dan konsert terakhir beliau di Kuala Lumpur ialah pada tahun 2017.

Konsert Judika di DFP akan menyaksikan lagu-lagu beliau dipersembahkan dalam gubahan orkestra oleh MPO.

Di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose, konsert ini akan menampilkan vokalis hebat negara, Jaclyn Victor sebagai artis undangan.

Pembelian pakej tiket boleh dilakukan menerusi kaunter Box Office atau layari www.mpo.com.my.

Dalam pada itu, Judika juga kini sedang sibuk menggalas tugas sebagai juri tetap Big Stage 2019.

Mengadili persembahan peserta bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Judika berganti tempat setiap minggu dengan penyanyi Cakra Khan.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, Big Stage 2 dibawakan kepada anda oleh VIVO dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.

Big Stage 2019 ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!