HIBURAN

Juicy Luicy Bakal Hangatkan RIF 2025 Ogos Ini, Barisan Artis Fasa Kedua Akan Diumumkan Tidak Lama Lagi!

Umirah Halim 08/07/2025 | 15:25 MYT
Kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy bakal menggegarkan pentas Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos ini (Ahad) di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Lebih menarik, RIF 2025 bukan sekadar sebuah konsert biasa sebaliknya menjanjikan pengalaman penuh emosi, inspirasi dan perkongsian kisah peribadi daripada artis yang membuat persembahan.

Menurut wakil penganjur, Bram Tulong dari Expoindo, Juicy Luicy dipilih sebagai artis utama fasa pertama kerana lagu-lagu mereka yang dekat di hati peminat Malaysia terutamanya generasi muda.

“Juicy Luicy tidak asing lagi bagi peminat tempatan menerusi lagu-lagu hits seperti Lantas, Lampu Kuning dan Sialan.

Lagu-lagu mereka sarat dengan emosi dan kisah hidup yang dekat dengan pendengar. Justeru, kami rasa mereka pilihan tepat untuk mengetuai pentas RIF kali ini,” katanya.

Festival anjuran Expoindo bersama Thrive itu membawa konsep baharu yang menggabungkan muzik dan perkongsian inspirasi, menjadikan ia sebuah platform yang lebih intim dan menyentuh hati.

“Nama ‘Ruang Inspirasi’ itu sendiri lahir daripada hasrat kami untuk menyediakan satu ruang di mana muzik bukan sahaja menghibur, tetapi juga memberi makna dan kekuatan kepada jiwa,” katanya lagi.

Menariknya, pengumuman artis fasa kedua akan dilakukan tidak lama lagi dan dijangka terus menghangatkan pentas RIF yang pertama kali dianjurkan di Malaysia.

Dalam masa sama, Johnathon Wong daripada BBO Events memaklumkan RIF 2025 akan diadakan dalam dua sesi berbeza iaitu pada sebelah tengah hari dan malam.

“Kami juga bercadang untuk meluaskan festival ini ke bandar-bandar utama lain di Malaysia sebagai jambatan budaya antara pemuzik Indonesia dan Malaysia,” ujarnya.

Tiket RIF 2025 untuk persembahan Juicy Luicy mula dijual pada 3 Julai 2025 (Khamis) menerusi aplikasi BBO Events dan laman web rasmi ri-fest.com/kualalumpur. Harga tiket (pre-sale) bagi sesi malam adalah seperti berikut:

• RM528 (VVIP – Tempat Duduk)

• RM328 (VIP – Tempat Duduk)

• RM258 (Gold – Tempat Duduk)

• RM158 (Platinum – Berdiri)

• RM128 (Silver – Tempat Duduk)

Maklumat lanjut dan harga tiket bagi sesi tengah hari boleh didapati menerusi Instagram dan TikTok rasmi mereka di @rifest.my.

#Artis #fasa kedua #juicy #luicy #RIF2025