Hiburan
"Jujurnya Saya Tidak Pernah Termimpi" - Anggap Sebagai Satu Cabaran, Haziq Hussni Ingin Turun Berat Demi....
Pengacara dan penyampai radio Haziq Hussni akui tidak pernah terlintas di fikiran untuk mengacarakan Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34).
Haziq bagaimanapun akan menjadikan peluang itu sebagai medan untuk dirinya menuntut ilmu sebanyak yang mungkin.
"Jujurnya saya tidak pernah termimpi untuk mengacarakan AJL kerana saya sedar diri.
"Lagipun, sebelum ini Alif Satar dan Sherry Alhadad sudah meletakkan satu tanda aras yang tinggi pada program itu.
"Namun, apabila pihak produksi menawarkan saya untuk memikul tanggungjawab berkenaan, saya menganggapnya sebagai satu cabaran.
"Malah, ia juga peluang untuk saya belajar sesuatu daripada mereka berdua kerana Awal Ashaari dan Sherry berpengalaman dalam mengacarakan anugerah berkenaan," katanya kepada Gempak.
Tambah pemilik nama Muhammad Haziq Irfan Hussni ini, dia dalam misi untuk menurunkan berat badan agar nampak lebih menarik di kaca televisyen.
"Walaupun di luar mungkin orang melihat tubuh saya tidak sebesar mana, namun di kaca televisyen ia berbeza.
"Selepas berbincang dengan pihak produksi, mereka menyarankan saya menurunkan sedikit berat badan supaya kelihatan menarik di layar kaca.
"Pada saya, ia bukanlah masalah. Saya berharap dalam tempoh sebulan ini saya mampu untuk mengurangkan berat sebanyak lima kilogram," ujarnya lagi.
Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) yang mempertaruhkan 12 karya mengangkat tema Warna-Warna Suara akan disiarkan secara langsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 9 Februari.
Tiket yang dijual pada harga serendah RM30 boleh dibeli di www.myticket.asia mulai 9 Januari jam 9 malam.
Para peminat AJL34 boleh dapatkan tiket mengikut aras tempat duduk yang dikehendaki iaitu Arena (RM60), Aras 3 (RM40) atau Aras 4 (RM30).
Must-Watch Video