Julang Jalur Gemilang, Momen Aizat Amdan & Peminat Menangis, Konsert Padi Reborn Live In KL Memang Gempak!

Amri Hassan
Julai 3, 2018 04:02 MYT
Padi, sebuah nama besar dari republik Indonesia yang pernah suatu ketika menyihir pendengar di Malaysia.
Belum hilang bisanya, Padi menerusi konsert Padi Reborn Live In KL pada hujung minggu lalu jadi bukti setianya peminat mereka dari Malaysia.
Pentas KL Live yang pernah menjadi saksi ribuan bintang beraksi kini meletakkan Padi antara kejora yang masih berkerdipan.
Jadi, tidak adil sekiranya kami tidak berkongsi momen-momen serba indah dan paling 'merinding' semasa berlangsungnya Konsert Padi Reborn Live In KL di KL Live, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
1. Memang seram sejuk, konsert Padi Reborn memainkan semula lagu-lagu malar segar mereka seperti Mahadewi, Semua Tak Sama, Seperti Kekasih dan pastinya Menanti Sebuah Jawaban.
2. Padi turut menampilkan drummer cilik, Amira dalam segmen khas mereka. Memang power budak ni!
3. Manakala, Pita Hati membuka panggung acara Padi Reborn Live In KL pada malam minggu lalu.
4. Momen Aizat Amdan memang tak boleh dilupakan! Paling padu ketika Aizat berduet dengan vokalis Padi, Fadly menerusi lagu Kasih Tak Sampai.
5. Pendek kata, ada antara peminat yang mengalirkan air mata ketika konsert sedang berlangsung!
6. Aizat juga sempat menyanyikan lagu terbaharunya Sampai Ke Hari Tua sebagai buah tangan untuk peminat.
7. Sahabat Selamanya yang pernah menghiasi siri animasi Upin & Ipin turut didendangkan Padi.
8. Malah, ketika mempersembahkan lagu itu, Padi tampil menjulang bendera rasmi Malaysia, Jalur Gemilang. Meremang wei!
9. Konsert Padi Reborn berjaya mengimbau kenangan silam sejak lebih 20 tahun band itu ditubuhkan. Malah, ada peminat yang datang dengan dress-up ala 1990-an.
10. Nabila Huda, Wan Sharmila dan Ippo Hafiz antara selebriti tempatan yang memeriahkan konsert tersebut.
Konsert Padi Reborn Live In KL dibawakan oleh Qew Communications Sdn. Bhd. dan merupakan konsert pertama Padi di Malaysia.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @padiband, @selebritionline
#Konsert #Indonesia #Konsert #Padi #Padi Reborn Live In KL