Laman Utama
Jumlah Kes COVID-19 Masih Tinggi, Rita Rudaini Minta Kementerian Pertimbangkan Untuk Pelajar Sekolah - "Kalau Anak Kita Sakit, Kita Bayar Bil Sendiri"
Risau melihat peningkatan jumlah kes harian COVID-19, pelakon Rita Rudaini, 45, tampil mempersoalkan tentang keselamatan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan pada 1 Mac ini.
Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar memohon agar Kementerian Pendidikan mempertimbangkan semula kerana melibatkan kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah.
"Macam mana nak pergi sekolah? Dok (masih) tinggi lagi ni. Mohon kementerian fikir balik la. Yang penting macam nak kena ambik peperiksaan tu takpa la.
"Yang besar boleh dan tau jaga diri.. Yang kecik-kecik bukan tau apa.
"Kalau anak kita sakit, kita bayar bil sendiri. Mohon fikir masak-masak," tulisnya.
Menerusi Instagram Stories, pelakon filem Kerana Korona itu turut memuat naik paparan skrin (screenshot) jumlah kes pada 24 Februari yang mencatat 3,545.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sekolah rendah, kolej vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing akan dibuka pada 1 dan 8 Mac ini.
Kumpulan yang akan mula bersekolah pada 1 Mac ini ialah murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula pada 8 Mac.
Manakala, pelajar sekolah menengah pula akan memulakan persekolahan lebih lewat untuk memberi laluan kepada pelajar Tingkatan Lima kohort 2020 yang menduduki SPM.
Sementara itu, pelajar kolej vokasional bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun Satu Semester Dua dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu Semester Dua akan hadir ke institusi masing-masing pada 1 Mac ini.
Must-Watch Video