Selepas kerajaan memberikan kelonggaran merentas negeri, jumlah pelancong ke Pulau Langkawi terus meningkat khususnya yang menggunakan perkhidmatan feri.

Bagi memastikan perkhidmatan feri mencukupi, Konsortium Ferry Line Ventures menyatakan kesediaan untuk menerima lebih 20,000 pengunjung dalam masa sehari dengan menambah kekerapan perjalanan dari Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, berkata, berdasarkan rekod, jumlah kemasukan ke pulau peranginan itu membabitkan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad adalah sekitar 40,000 individu.

Jumlah itu, menurut beliau, meningkat sehingga 15 kali ganda jika dibandingkan dengan hanya 2,800 individu yang membabitkan penduduk di negeri Kedah sebelum kebenaran rentas negeri dibenarkan pihak kerajaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya kini melaksanakan lapan perjalanan pergi dan balik ke Pulau Langkawi dari Jeti Kuala Perlis selain enam perjalanan dari Jeti Kuala Kedah.

Baharin juga tidak menolak kemungkinan bahawa operasi perjalanan feri mampu mencecah sehingga maksimum 12 perjalanan sehari termasuk feri-feri tambahan selain pergerakan pada waktu malam jika wujud permintaan tinggi daripada pengunjung.

"Sekarang kami di konsortium tidak ada masalah untuk menambah trip seperti sebelum ini, kami boleh buat sehari sehingga 60 trip, iaitu laluan Langkawi ke Kuala Perlis, Kuala Perlis ke Langkawi, Langkawi ke Kuala Kedah, Kuala Kedah ke Langkawi.

"Kami juga boleh buat 68 trip seperti sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan iaitu 25,000 orang lebih sehari, tapi ada beberapa kekangan dan kita akan cuba semaksimum mungkin.

"Antara yang boleh dilakukan mungkin operasi perkhidmatan feri akan cuba dilewatkan sampai malam," katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, Johor menjadi antara penyumbang tertinggi pelancong ke Langkawi yang menggunakan perkhidmatan feri diikuti pengunjung dari Perak, Kedah dan Kelantan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembelian tiket feri secara atas talian juga meningkat secara mendadak iaitu mencecah 86 peratus daripada jumlah keseluruhan tiket yang dijual.

Tambah Baharin, perubahan positif itu juga mampu mengurangkan kesesakan di kaunter pembelian tiket selain lebih mudah dan cepat.

"Mungkin mereka (pelancong) tahu feri yang akan dinaiki adalah pukul 8 pagi, jadi dia datang awal tunggu.

"Ini masalah ketika pembelian di kaunter, pelancong tiba di kaunter tiket pukul 7 pagi tetapi feri cuma ada pukul 5 petang.

"Ini memang banyak berlaku sebelum ini dan menyusahkan pelancong yang datang dari jauh.

"Bila berlaku pembelian online, kita bersyukur dan kita difahamkan ramai penumpang ke langkawi memilih untuk membeli online iaitu 86 peratus, kami semak baru-baru ini kenaikannya mendadak," katanya lagi.

Sementara itu, pihak Konsortium Ferry Line Ventures turut melaksanakan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) di terminal-terminal feri khususnya dalam memastikan tidak berlaku lambakan pengunjung di kawasan menunggu terminal.